PETALING JAYA : Sekeping gambar menceritakan 1,000 perkataan. Gambar yang disertakan ini menimbulkan 1001 macam pengertian kerana terselit kata-kata : “Saya dah tutup pintu depan tapi…”
Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Razlan Rafii berkata, gambar Menteri (Kanan) Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tersebut penuh makna dan menjadi tanda tanya.
“Jelas sekali ada perkara yang (sudah) dibuat keputusan, ada pihak yang lebih besar mengubah keputusan itu, “ujarnya kepada Utusan Malaysia hari ini tetapi tidak memberi penjelasan lanjut.
Menurut Razlan lagi, beberapa hari ini, (sebelum ini) terdapat keputusan yang dibuat pada saat akhir, orang ramai keliru, namun sebagai rakyat perlu terus akur dan berdoa agar ia dibuat demi keselamatan nyawa.
Razlan mencadangkan agar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ini mengikut garis panduan PKP 1.0, tidak ada sektor yang diberikan keistimewaan atau pintu belakang untuk terus membuka perniagaan mereka.
Kata beliau lagi, apabila ada pusat hiburan keluarga diberi kebenaran untuk dibuka walaupun kes-kes tinggi, kilang arak yang tidak ada kena mengena dengan perkhidmatan perlu (essential) dibuka, ada kilang di Pulau Pinang, tular baru-baru ini walaupun sudah ada kes dan diarah tutup, masih terus beroperasi. Ini semua mengundang bencana.
“Bersabarlah wahai Menteri Pertahanan, teruskan dengar suara rakyat. Teruskan buat kerja demi nyawa rakyat. Rakyat hanya boleh berharap kepada anda dan beberapa yang lain,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE