Berkorbanlah untuk 14 hari - Utusan Malaysia

Berkorbanlah untuk 14 hari

MOHIDEEN ABDUL KADER
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Pemilik kilang dan industri disarankan untuk berkorban selama 14 hari ketika sekatan pergerakan penuh dijalankan dengan menutup operasi kilang mereka secara sukarela bagi membantu kerajaan memutuskan rantaian Covid-19.

Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang), Tan Sri Mohd. Yusof Latiff berkata, selain itu, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) juga perlu lebih tegas dengan tidak memberikan kebenaran kepada kilang-kilang yang bukan dalam kategori perkhidmatan perlu untuk beroperasi.

Mohd. Yusof Latiff

“Gunakan 14 hari sekatan penuh ini untuk putuskan penyebaran wabak Covid-19, pemilik kilang korbanlah untuk tempoh yang getir ini dengan menutup operasi.

“MITI pula, jangan hanya tutup satu pintu, tetapi, pintu-pintu lain dibuka dengan membenarkan kilang-kilang beroperasi dalam tempoh sekatan penuh ini,” katanya di sini hari ini.

Sebanyak 128,150 syarikat dengan melibatkan 1.57 juta pekerja di seluruh negara yang berdaftar dengan Covid-19 Intelligent Management System (CIMS) 3.0 diberikan surat kebenaran beroperasi sepanjang PKP 3.0

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, jumlah itu berdasarkan daripada keseluruhan permohonan 586,308 syarikat di samping melibatkan 10.2 juta pekerja yang berdaftar dengan CIMS.

Menurut Mohd. Yusof, kebenaran MITI untuk sesetengah industri yang didakwa sebagai perkhidmatan perlu meneruskan operasi ketika PKP ini merupakan satu bentuk ketidakadilan ekonomi kepada rakyat.

“Ketika PKP banyak rakyat terjejas terutama mereka yang bekerja di sektor pelancongan, kenapa benarkan satu sektor hidup tetapi sektor lain dikorbankan pula.

“Berlaku adil kepada semua pihak, rakyat terutama golongan B40 benar-benar terkesan dengan PKP ini dan tidak mustahil akan dipanjangkan sekiranya wabak masih gagal dibendung,” katanya.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader berkata, keputusan MITI membenarkan 128,150 syarikat beropeasi dengan melibatkan 1.57 juta pekerja bukan langkah bijak dalam membebaskan negara daripada wabak Covid-19.

“Bagaimana MITI mahu memastikan kesemua lebih sejuta pekerja di sektor perkilangan yang dibenarkan beroperasi benar-benar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) untuk mencegah Covid-19.

“Jumlah mereka yang bekerja dan bergerak ketika PKP masih besar dan tidak mustahil jumlah jangkitan Covid-19 akan kekal tinggi dalam tempoh PKP ini kerana masih ramai yang bekerja di luar,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya