Berkongsi gajet tidak halang catat keputusan cemerlang - Utusan Malaysia

Berkongsi gajet tidak halang catat keputusan cemerlang

FATIN Nasuha Mahalil dan ibu bapanya kelihatan ceria ketika ditemui di kediaman mereka di Kampung Kerangai, Jelebu, baru-baru ini. – Mingguan/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JELEBU: Terpaksa berkongsi dua buah gajet untuk digunakan bersama empat orang adik beradiknya yang lain tidak menghalang Fatin Nasuha Mahalil, 18, dari Kampung Kerangai di sini mencatatkan keputusan ‘A’ dalam semua lapan mata pelajaran yang diambil dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pertang itu memberitahu, kelima-lima mereka hanya menggunakan dua buah telefon pintar iaitu milik ibu mereka, Zuraidah Nasution, 45, yang bekerja sebagai pembantu kantin sekolah.

Sebuah gajet lagi adalah milik, anak sulung, Nurul Izzati Mahalil, 21 yang merupakan seorang pelajar universiti swasta dalam jurusan kejururawatan yang turut perlu mengikuti proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Menurut, Fatin Nasuha, apabila bapa mereka, Mahalil Abas, 46, pulang ke rumah selepas melakukan kerja-kerja kampung, telefon bimbit bapanya itu juga akan digunakan oleh mereka adik-beradik.

“Alhamdulillah, saya menangis gembira apabila melihat di telefon keputusan peperiksaan saya. Ini berkat usaha bukan hanya saya tetapi guru-guru yang sanggup mengajar sehingga malam dan ibu serta bapa yang tak putus-putus memberikan semangat.

“Adik-beradik juga sanggup bertolak ansur bagi memberi keutamaan kepada saya menggunakan telefon, keputusan ini lebih baik berbanding keputusan percubaan SPM lalu yang hanya mencatat 6 A,” katanya ketika ditemui semalam.

Fatin berkata, tiga adiknya lagi iaitu Siti Maisarah, 16 bersekolah di Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Jempol dan Mohd. Norsyafi, 12, dan Norfaidzin Qistina Nasution, 9, pula bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Gelang Terusan.

“Walaupun berhadapan kesukaran  untuk belajar dan tidak bersemuka dengan guru, kerana Covid-19, cikgu telah menggunakan teknik aplikasi Google Meet serta menggunakan perisian yang boleh menerangkan langkah penyelesaian terutama bagi mata pelajaran matematik.

“Ada juga guru yang membuat kelas lebih daripada sekali setiap hari bagi memastikan calon SPM dapat memahami mata pelajaran yang tertinggal,” katanya yang baru sahaja selesai menduduki temuduga bagi pemilihan pelajar ke Institut Pendidikan Guru (IPG).- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN