GEORGETOWN: Kerajaan negeri Pulau Pinang memohon Majlis Keselamatan Negara (MKN) membenarkan waktu perniagaan untuk penjaja makanan dan minuman mulai pukul 6 pagi berbanding 8 pagi ketika ini.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo berkata, terdapat lebih 1,000 penjaja makanan dan minuman di 35 premis di negeri ini yang terletak sama ada berhampiran atau di dalam tapak pasar awam.
Jelasnya, ketika ini, pasar awam boleh dibuka pukul 6 pagi, namun, operasi tapak penjaja makanan dan minuman hanya dibenarkan bermula 8 pagi.
”Perbezaan waktu operasi selama dua jam ini amat menyukarkan para penjaja kerana pelanggan yang datang awal ke pasar tidak dapat membeli makanan di gerai mereka dan kami menerima banyak aduan mengenai hal ini,” katanya ketika melawat Pasar Awam Taman Free School, di sini hari ini.
Menurut Jagdeep, pihaknya telah mengemukakan rayuan kepada MKN hujung bulan lalu supaya waktu operasi perniagaan penjaja makanan dan minuman dapat diselaraskan dan dapat memulakan operasi pukul 6 pagi.
“Semalam, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) sekali lagi mengemukakan surat rayuan kepada MKN supaya mempertimbangkan waktu operasi penjaja.
“Keadaan di setiap negeri adalah berbeza, kita setuju Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) perlu dilaksanakan bagi memutuskan rantaian Covid-19, namun, pada masa sama ekonomi rakyat juga perlu dijaga,” katanya.
Tambah beliau, kehidupan rakyat terutama golongan penjaja amat tertekan pada masa ini dan kelonggaran untuk memulakan waktu perniagaan lebih awal perlu segera dilaksanakan.
“Waktu perniagaan yang lebih awal tidak bermakna penjaja boleh melanggar SOP dengan sewenang-wenangnya kerana mereka masih terikat dengan undang-undang,” katanya.
Dalam pada itu, Jagdeep berkata, kerajaan Pusat juga perlu menilai semula SOP PKP di setiap negeri memandangkan terdapat negeri yang mempunyai kes tinggi dan ada negeri mencatatkan pengurangan kes.
“Sebagai contoh di Selangor kes Covid-19 masih mencatatkan lebih 1,000 kes manaka di Pulau Pinang ada waktunya kita mencatatkan kes pada tahap dua angka.
”Disebabkan itu, kerajaan Pusat perlu menilai semula SOP PKP di negeri-negeri dan tidak boleh menggunakan SOP yang sama di negeri yang ada pengurangan kes,” katanya. -UTUSAN ONLINE