SEREMBAN: Bekas suami kepada pelakon yang juga ‘instafamous’ Zarina Anjoulie ditahan polis selepas memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Mohd. Fazley Ab. Rahman berkata, bekas suami pelakon itu, Eliyas Azhar, 20-an hadir memberi keterangan di IPD Nilai pada pukul 4 petang semalam.
Ia susulan laporan polis dibuat Zarina Anjoulie pada Sabtu lalu yang didakwa menerima ugutan daripada lelaki tersebut.
“Pelakon itu (Zarina Anjoulie) mendakwa menerima pesanan berunsur ugutan daripada bekas suami bertujuan untuk mengaibkannya di media sosial.
“Sehubungan itu, semalam suspek telah hadir ke IPD Nilai untuk dirakam percakapan dan ditahan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Zarina Anjoulie atau nama sebenarnya Zarina Anjoulie Lavocah Mohd. Fahizul, 34, telah berkongsi gambar IPD Nilai pada Sabtu lalu menerusi Instagram dan InstaStory memaklumkan telah membuat laporan polis berhubung tindakan bekas suaminya.
Menurut Mohd. Fazley, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan iaitu menakutkan secara jenayah.
“Kertas siasatan akan dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya untuk keputusan dalam waktu terdekat,” katanya.
Dalam pada itu, semalam, Zarina Anjoulie juga telah memuat naik beberapa bukti tangkap layar mesej perbualan di Instagramnya yang mana dia bertanya sama ada perlu membayar Eilyas jika ingin diceraikan dan lelaki itu meletakkan harga bayaran berjumlah RM10,000.
Terdahulu, Zarina atau mesra dengan panggilan Anju pernah mendirikan rumah tangga dengan lelaki berasal dari Brunei itu pada 2015 dan bercerai pada Disember 2016.
Sebelum ini, tidak sampai sebulan bercerai Zarina dan bekas suaminya rujuk semula kerana tidak mahu berputus asa dengan perkahwinan yang dibina tersebut. -UTUSAN