LUMUT: Bekalan vaksin Covid-19 di negeri ini tidak mencukupi menyebabkan 13 daripada 31 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Perak masih belum berfungsi.
Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad bagaimanapun yakin semua 31 PPV akan berfungsi sepenuhnya apabila bekalan vaksin itu dijangka diperoleh hujung bulan depan.
“Setakat ini, hanya 18 PPV di Perak yang berfungsi, bukan tidak cukup tenaga kerja, ia mencukupi, tetapi, kita mahu memastikan bekalan vaksin mencukupi.
“Jika berdasarkan pengumuman Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, bekalan vaksin dijangka tiba mengikut jadual hujung Julai ini, jika ia berlaku, maka, semua 13 PPV ini akan beroperasi,” katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas mendengar taklimat Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) tiga perkampungan di Batu 9 Lekir, di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di Tanjung Kepah, dekat sini hari ini.
Menurut Saarani, jika semua 31 PPV beroperasi sepenuhnya, dijangka antara 20,000 hingga 30,000 individu dapat divaksin setiap hari di Perak.
Jelasnya, ketika ini dianggarkan kira-kira 10,000 penduduk divaksin sehari di negeri ini dengan sasaran ditingkatkan kepada 15,000 orang sehari dalam tempoh terdekat.
Menurutnya, sasaran itu dibuat berikutan penambahan kaedah pemberian vaksin menerusi kewujudan PPV bergerak dan PPV pandu lalu.
Pada masa sama, katanya, kerajaan negeri juga sudah memberi kebenaran kepada syarikat Maju Perak untuk membeli vaksin bagi pemberian vaksin secara berbayar kepada mereka yang berkemampuan.
“Semua itu bergantung kepada kecukupan vaksin. Kecekapan petugas kesihatan, sukarelawan dan jentera bertugas sudah baik, hanya memerlukan kesediaan orang ramai untuk keluar mengambil vaksin.
“Lagi banyak PPV, lagi hampir PPV dengan kediaman mereka (maka lebih ramai divaksin), malah sekarang kita sudah sediakan pengangkutan oleh sukarelawan, jadi tiada masalah untuk ke PPV,” katanya.
Sementara itu, Saarani berkata, tiga perkampungan Batu 9 Lekir yang dikenakan PKPD mulai 6 Jun lalu sehingga Sabtu ini, dijangka boleh ditamatkan lebih awal jika tiada lagi penduduk yang positif Covid-19.
Jelasnya, seramai 51 penduduk di situ yang positif Covid-19 dan dimasukkan ke hospital sudah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing manakala seramai 707 penduduk sudah disaring dengan keputusan akhir dijangka diterima hari ini atau esok.
“Berdasarkan situasi sehingga kini, tiada lagi penduduk yang dikesan positif dan jika keputusan akhir turut tiada kes baharu, maka, kerajaan negeri akan mencadangkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) agar PKPD ini ditamatkan lebih awal,” katanya.
Beliau turut memuji sikap penduduk di situ yang akur dengan peraturan ditetapkan dan dibuktikan apabila sehingga hari ini, hanya ada dua kes pelanggaran SOP dikesan sejak PKPD dikuatkuasakan di Kampung Tanjung Kepah, Kampung Batu 9 dan Kampung Sungai Lombong tersebut. – UTUSAN ONLINE