KUANTAN : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pahang memberi jaminan bahawa bekalan minyak masak mencukupi dan tiada masalah kekurangan bekalan di semua peringkat rantaian pengedaran.
Ketua Penguatkuasa KPDNHEP Pahang, Normaswari Nordin berkata, peruncit dibenarkan mengehadkan pembelian cuma tiga paket minyak masak seberat satu kilogram yang bersubsidi sahaja bagi setiap pelanggan untuk memastikan bekalan sentiasa mencukupi.
Beliau menjelaskan, terdapat dua kategori minyak masak di pasaran negeri ini, iaitu minyak masak bersubsidi dan tidak bersubsidi dan hanya minyak masak peket seberat satu kilogram sahaja yang dikategorikan sebagai bersubsidi dengan harga ditetapkan iaitu RM2.50 satu kilogram.
“Minyak masak yang lain termasuk dalam kategori tidak bersubsidi yang telah dilaporkan oleh media berlaku kenaikan apabila peruncit menjual dengan pelbagai harga mengikut pasaran semasa.
“Pejabat Penguatkuasa KPDNHEP negeri telah menjalankan analisis ke atas pangkalan data harga dan siasatan lanjut ke atas semua rantaian pengedaran dan mendapati terdapat kenaikan harga antara 16 hingga 24 peratus jenis serta jenama minyak masak tidak bersubsidi bermula suku keempat tahun lalu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Normaswari, punca kenaikan minyak masak tidak bersubsidi disebabkan oleh harganya yang lebih tinggi di peringkat pengilangan akibat kenaikan harga pasaran minyak sawit mentah dunia.
Katanya, pengguna tidak perlu keliru kerana kenaikan harga minyak masak tidak bersubsidi ditentukan oleh pasaran harga sawit termasuk kos pengilangan seperti pembotolan, pengangkutan dam keuntungan di peringkat kilang, pemborong, pengedar dan peruncit.
“Kita menggalakkan pengguna boleh menjimatkan dengan berbelanja minyak sawit bersubsidi seberat satu kilogram berharga RM2.50 yang juga sama kualitinya dengan minyak sawit dalam botol,” katanya.
Dalam perkembangan yang sama, Normaswari berkata, sehingga ini, penguat kuasa KPDNHEP negeri dibantu oleh pegawai Pegawai Pemantau Harga (PPH) sentiasa proaktif melakukan pemeriksaan serta pemantauan 85 buah premis perniagaan yang menjadi tumpuan awam.
“Sebanyak 307 buah premis di bawah Skim Premis Peruncit dan Skim Premis Pemborong kerap dipantau tahap keberadaan bekalan barang keperluan untuk pengguna termasuk minyak masak.
“Sepanjang tahun ini, PenguatKuasa KPDNHEP negeri hanya menerima dua aduan sahaja melibatkan harga dan bekalan bagi minyak masak,” katanya.
Selanjutnya, beliau menambah sepanjang tahun ini, KPDNHEP negeri telah menjalankan sebanyak 25,243 pemeriksaan ke atas premis perniagaan dan merekodkan 32 kes berkaitan kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 melibatkan nilai rampasan RM128,870.45 dan kompaun RM32,400.
“KPDNHEP negeri ini sekali lagi memberikan jaminan bahawa barangan keperluan mencukupi dan pada masa yang sama kita menasihatkan para pengguna agar bijak membuat pilihan berdasarkan kemampuan masing-masing.
“Peniaga pula diingatkan supaya sentiasa menawarkan harga yang berpatutan. Sekiranya berlaku aktiviti manipulasi harga serta mengaut keuntungan berlebihan, Penguatkuasa KPDNHEP negeri tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan yang tegas di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE