LAHAD DATU: Bunyi salakan anjing yang berterusan diiringi tangisan bayi yang kedengaran begitu dekat mendorong sebuah keluarga berusaha memeriksa bawah kolong rumah mereka.
Tidak disangka apabila memeriksa di bawah kolong rumah, terdapat seorang bayi yang masih bertali pusat dalam keadaan tertiarap di atas tanah berlumpur.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad berkata, bayi yang dipercayai baharu dilahirkan selama beberapa jam itu ditemukan di bawah kolong rumah sebuah keluarga di Kampung Dasar Baru dekat sini pada pukul 7.30 malam, semalam.
Beliau berkata, pemilik rumah yang merupakan seorang wanita terdengar suara bayi menangis yang berselang-seli dengan bunyi anjing menyalak dari bawah kolong rumahnya.
“Apabila diperiksa, dia bersama suami dan abangnya menemukan seorang bayi lelaki yang diletakkan dalam keadaan tertiarap di atas tanah yang berlumpur,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Justeru itu, wanita bersama ahli keluarganya terus menghantar bayi berkenaan ke Jabatan Kecemasan Hospital Lahad Datu untuk mendapatkan rawatan.
Beliau berkata, berdasarkan laporan pegawai perubatan, bayi lelaki yang baharu dilahirkan kira-kira tiga atau empat jam lepas itu dilahirkan dalam keadaan pramatang kerana baru berusia tujuh bulan.
Tambah Rohan, bayi yang dianggarkan seberat satu kilogram itu dilaporkan dalam keadaan tidak stabil dan dimasukan di unit rawatan rapi untuk rawatan selanjutnya.
Pihak polis masih menyiasat kejadian tidak bertanggungjawab itu di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi. Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
“Oleh itu, masyarakat Lahad Datu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta untuk menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat kes Sarjan Aspalainah Mohd Zain ditalian 0111-9019728 atau balai polis berhampiran,” katanya.- UTUSAN ONLINE