Barang keperluan di Jerantut mencukupi - Utusan Malaysia

Barang keperluan di Jerantut mencukupi

Hasil pemeriksaan di semua premis borong dan peruncit berkenaan mendapati tiada berlaku kenaikan harga barang yang tidak munasabah serta didapati peniaga sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh KPDNHEP di bawah Akta Kawalan Harga Dan Akta Antipencatutan 2011 dan Akta Kawalan Bekalan 1961
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Stok bekalan barangan keperluan asas harian adalah mencukupi di semua pasar raya dan peruncit di bandar ini dan kawasan berdekatan semasa tempoh penguatkuasaan sekatan perjalanan penuh pada ketika ini.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Jerantut, Abd. Mubin Ahmad berkata, hasil pemeriksaan dan pemantauan harian yang dilakukan ke atas pemborong, pasar raya dan peruncit di sekitar bandar ini, Jerantut Feri, Felda Lepar Utara, Felda Gelanggi dan beberapa tempat lain mendapati semua barangan keperluan asas adalah mencukupi.

Beliau berkata, pemantauan serta pemeriksaan dilakukan oleh penguatkuasa di sini mendapati barangan seperti gula, minyak masak, tepung gandum, beras, roti putih, telur ayam dan barangan kering lain mencukupi untuk orang ramai berbelanja.

“Pengguna daerah ini tidak perlu risau ketika tempoh sekatan pergerakan penuh kerana bekalan barang keperluan asas adalah mencukupi dan kita sudah pun bertemu dengan pihak pemborong, pemilik pasar raya, pasar mini di Felda, peruncit dan mereka memberi jaminan barang keperluan sentiasa ada.

“Hasil pemeriksaan di semua premis borong dan peruncit berkenaan mendapati tiada berlaku kenaikan harga barang yang tidak munasabah serta didapati peniaga sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh KPDNHEP di bawah Akta Kawalan Harga Dan Akta Antipencatutan 2011 dan Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

Beliau menyatakan demikian selepas operasi pemeriksaan barang keperluan asas dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di pasar raya dan kedai runcit bandar ini di sini hari ini.

Abd. Mubin berkata, pihaknya meminta peniaga supaya tidak menyorok barangan keperluan atau menaikkan harga sesuka hati tanpa alasan yang munasabah. 

“Tindahan tegas akan akan diambil sekiranya didapati ada pihak pemborong, pasar raya dan peruncit yang melakukannya (menyorok) dan memanipulasi harga berasaskan akta tersebut,” katanya.

Menurutnya, pihaknya turut melaksanakan penguatkuasaan pematuhan SOP Akta 342 di premis-premis perniagaan, iaitu memeriksa had bilangan pelanggan di pasar raya dan pasar mini termasuk premis. stesen minyak di bandar ini.

“Keseluruhannya semua pemilik premis perniagaan akur dan mematuhi SOP dan telah menyediakan peralatan pengimbas suhu, buku daftar pelanggan/QR kod MySejahtera, penggunaan pencuci tangan serta mematuhi waktu operasi yang ditetapkan,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya