PETALING JAYA: Adalah wajar Kementerian Pendidikan mengecualikan semua premis kantin sekolah sehingga sesi persekolahan dibuka.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pengusaha kantin sekolah di seluruh negara perlu dibantu ekoran penutupan sesi persekolahan.
Selain itu katanya, lanjutan kontrak semua pengendali kantin sekolah juga wajar dilanjutkan selama dua tahun lagi bagi menampung kehilangan peluang dan pendapatan selama hampir dua tahun.
“Pada saat sebegini, apa juga tindakan yang dapat mengurangkan beban rakyat mesti menjadi keutamaan tertinggi kerajaan.
“Sementara menunggu semua intervensi tersebut berlaku, janganlah kita lupa kepada sektor sokongan seperti pengusaha kantin sekolah.Sektor persekolahan akan terus di tutup sehinggalah fasa pemulihan bermula,” katanya menerusi Facebook miliknya hari ini.
10,000 pengusaha kantin sekolah di seluruh negara kini terumbang ambing berikutan penutupan sekolah sehingga Julai .
Ini sekali gus memaksa mereka menutup operasi perniagaan dan memberi kesan sehingga terpaksa memberhentikan pekerja kerana tidak mampu menanggung kos operasi.-UTUSAN ONLINE