Bank Negara boleh arahkan bank berikan moratorium kepada M40 - Utusan Malaysia

Bank Negara boleh arahkan bank berikan moratorium kepada M40

FAIZ FADZIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Bank Negara (BNM) sebagai bank pusat mempunyai kuasa penuh untuk mengarahkan bank-bank atau institusi kewangan menyediakan kemudahan moratorium kepada golongan M40.

Ahli Jawatankuasa Pimpinan Parti Amanah Negara (Amanah), Faiz Fadzil berkata, ini kerana terdapat peruntukan undang-undang seperti Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 yang memberikan kuasa cukup luas kepada kerajaan untuk membuat atau meminda apa sahaja undang-undang atau statut bagi mengarahkan moratorium.

Katanya, kerajaan menggunakan kuasa meminda Akta Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) bagi mengambil RM5 bilion untuk program vaksinasi justeru tidak mempunyai masalah untuk membantu M40.

“Selain itu Seksyen 5 Akta Bank Negara (2009) memperuntukkan fungsi Bank Negara untuk mengatur dan mengawal selia institusi kewangan.

“Seksyen 72 pula memberikan kuasa untuk membuat apa-apa polisi monetari dan kewangan dan ini termasuklah polisi moratorium pinjaman. Jika moratorium ke atas golongan B40 boleh dibuat, kenapa pula ke atas M40 tidak boleh,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Faiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir berkata, Seksyen 6, 7 dan 13 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 juga memberikan kuasa kepada Bank Negara menetapkan apa-apa polisi kewangan untuk dijalankan oleh bank atau institusi kewangan dan ini termasuk moratorium ke atas golongan M40.

Jelasnya, golongan M40 walaupun mempunyai pendapatan yang lebih, namun, dengan kadar inflasi yang dijangka meningkat lima peratus pada suku tahun ini juga terkesan teruk dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Seharusnya, golongan ini (M40) juga dibantu dengan memberikan moratorium ke atas pinjaman perumahan, sewa kereta, pinjaman peribadi atau pendidikan,” katanya.

Tambahnya, bank atau institusi kewangan tidak akan gulung tikar hanya dengan memberikan moratorium ke atas golongan B40 dan M40.

“Kerajaan Perikatan Nasional (PN) harus lebih peka dengan rintihan rakyat di bawah yang rata-rata mengharapkan perlindungan daripada kerajaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya