KOTA BHARU: Empat beranak yang tidak mampu menyewa rumah bersyukur dapat tinggal di bangsal usang yang pernah menjadi tempat mengaji al-Quran di Kampung Pulau Kundur di sini sebagai kediaman mereka sekeluarga.
Bagaimanapun, Mohd. Kamarul Azam Husin, 37 dan isteri Atikah Azmi, 28, serta dua anak mereka tetap hidup dalam keadaan serba kekurangan selepas berpindah masuk ke situ, empat tahun lalu.
Ditemui Utusan Malaysia semalam, Mohd. Kamarul Azam berkata, setakat ini mereka tiada pilihan lain kerana pendapatannya sebagai buruh hanya sekadar cukup makan dan belum mampu menyewa rumah lain.
“Bangsal seluas dua buah bilik tidur ini sudah cukup buat kami sekeluarga untuk tinggal kerana tidak mahu menyusahkan ahli keluarga yang lain.
“Bangsal ini tempat mengaji al-Quran arwah nenek saya 20 tahun lalu, namun ia sudah tidak digunakan, jadi saya minta izin daripada saudara-mara untuk berpindah ke sini sebelum anak kedua kami selamat dilahirkan,” katanya.
Mohd. Kamarul Azam berkata, mereka sekeluarga sebelum ini tinggal di rumah ibunya namun keadaan tempat itu bertambah sempit selepas enam orang tinggal bersama.
“Selain ruang yang terhad, bangsal itu juga tiada tandas dan bekalan elektrik juga terpaksa dibuat sambungan dari rumah ibu selain bahagian lantai serta dinding hampir reput dimakan anai-anai.
“Kini saya semakin rungsing apabila sudah tidak dapat keluar bekerja sejak sebulan lalu disusuli Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.
Menurut Mohd. Kamarul, sebelum Covid-19, dia memperoleh pendapatan sebanyak RM200 seminggu dengan melakukan kerja buruh membuat rumah.
“Saya kini sudah tiada langsung pendapatan. Ada juga saudara-mara yang membantu kami. Penghulu Mukim Kampung Pulau Kundur, Rosli Mat Husin juga sering membeli bekalan keperluan asas,” katanya.
Sementara itu Rosli berkata, dia sudah memaklumkan kepada Majlis Adat dan Istiadat Melayu Kelantan (Maik) maklumat tentang keluarga tersebut untuk dibantu dan kini dilihat masih menunggu.
Orang ramai bersimpati boleh menghulurkan bantuan menerusi akaun Bank Islam Mohd. Kamarul Azam, 03036021095063 atau hubunginya di talian 011-2569 4689. -UTUSAN ONLINE