PUTRAJAYA: Bandar Bentong di Daerah Bentong, Pahang antara yang bakal dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama tempoh 14 hari mulai Ahad hingga 19 Jun ini meliputi 21 lokaliti dalam kawasan tersebut susulan 209 kes positif direkodkan dua minggu hingga akhir Mei lalu.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Kesihatan turut mendapati kadar kebolehjangkitan adalah tinggi selepas ujian saringan ke atas 914 orang penduduk meliputi Kampung Chamang Lama, Kampung Chamang Baru, Taman Bukit Chamang, Kawasan Perindustrian Bentong, Kampung Baru, Taman Saga dan Taman Bukit Indah.
Juga tidak ketinggalan di Kampung Sungai Marong, Taman Bukit Bentong, Taman Hussin, Taman Syahbandar, Kampung Pertig, Kampung Kemansur, Kampung Kuala Repas, Taman Desa Damai, Bentong Heights, Rumah Murah Batu 1, Projek Perumahan Rakyat Termiskin Batu 1, Taman Bentong Makmur, Taman Harmoni dan Taman Kolej,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu kata Ismail Sabri, 10 lokaliti berbeza di Perak juga dikenakan PKPD secara serentak yang bermula lusa antaranya ialah Taman Kerian Tambahan, Parit Buntar, Daerah Kerian, tiga perkampungan di Batu 9, Lekir, Mukim Lekir, Daerah Manjung yang meliputi Kampung Tanjung Kepah, Kampung Batu 9, Kampung Sungai Lombong.
Juga Kampung Dato’ Ahmad Said Tambahan 2, Mukim Ulu Kinta, Daerah Kinta; Taman Berkat, Daerah Larut, Matang dan Selama serta empat perkampungan di Daerah Hulu Perak membabitkan Kampung Air Panas dan Kampung Kuak Luar di Mukim Pengkalan Hulu serta Kampung Alai dan Kampung Baru sebahagian Kampung Lalang, di Mukim Kerunai.
Dalam pada itu di Sabah pula jelas beliau, empat lokaliti yang berlainan di negeri tersebut turut dikenakan PKPD antaranya ialah Kampung Perpaduan, Pulau Banggi, Bahagian Kudat, juga di ibu negerinya melibatkan Taman Wangsa, Jalan Telipok, Kota Kinabalu, Bahagian Pantai Barat serta Lorong Ulu Sibuga 5 dan 9, Fasa 7, Taman Mawar, Bahagian Sandakan.
Bagaimanapun kata Ismail Sabri, sebanyak 11 lokaliti lagi ditamatkan PKPD secara serentak pada esok dengan dua daripadanya berakhir lebih awal berbanding tarikh yang sepatutnya iaitu membabitkan PKPD di Rumah Panjang Nyalu anak Francis di Jalan Mukah-Selanyau, Bahagian Mukah, Sarawak dan Felda Kahang Timur, Daerah Kluang, Johor.
“Sembilan lagi PKPD ditamatkan seperti dijadualkan antaranya Kampung Batu Muda Tambahan dan Projek Perumahan Rakyat Kampung Limau di Kuala Lumpur, juga Kampung Paya Ular, Kampung Bechah Palas dan Kampung Tualang di Mukim Bunut Susu, Jajahan Pasir Mas, Kelantan serta Kampung Pagar Sungai Imam, Tawau, Sabah,” katanya.
Tidak ketinggalan ialah dua buah asrama pekerja di Daerah Kluang, Johor yang melibatkan kilang Oceanic Fabric Mill dan Purnabina susulan penurunan kes dan kluster adalah terkawal.- UTUSAN ONLINE