KOTA BHARU: “Nenek dah siap dua kali cucuk vaksin, awak jangan lupa cucuk ya.”
Pesanan itu dititip Siti Liah Mamat, 120, yang selesai menerima suntikan dos kedua vaksin Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian di sini hari ini.
Wanita warga emas itu ditemani cucu, Liana Azman, 33, menerima suntikan kedua tersebut di PPV Kampus Kesihatan USM secara pandu lalu, kira-kira pukul 11.30 pagi ini, sekali gus melengkapkan proses vaksinasi terhadap dirinya.
Ketika ditemui pemberita, Siti Liah yang mesra disapa Nenek Siti berkata, dia bersyukur kerana selesai menerima kedua-dua dos tanpa sebarang kesan memudaratkan sebagaimana digembar-gembur pelbagai pihak.
“Sebenarnya bimbang juga dengan usia yang melebihi satu abad ini, kalau-kalau ada kesan sampingan akan berlaku. Saya sentiasa berdoa agar dilindungi Allah SWT daripada kesan sampingan yang tidak baik.
“Alhamdulillah semua lancar. Selepas dos pertama tak ada kesan apa-apa kepada nenek, selepas dos kedua pun harap-harap tidak ada kesan apa-apa. Semoga Allah memberi kesihatan yang baik kepada kita semua,” katanya.
Utusan Malaysia sebelum ini pernah melaporkan Siti Liah yang mempunyai 12 anak, 48 cucu dan 44 cicit sangat teruja untuk menerima suntikan pertama, seolah-olah mahu menyambut hari raya.
Wanita itu dikatakan amat bersemangat membuat persiapan, termasuk mengatur pakaian dan selipar tercantik untuk dipakai ke PPV, sehari sebelum dia dijadual menerima suntikan tersebut pada 9 Jun lalu.
Sementara itu, Liana berkata, sebagaimana suntikan dos pertama, neneknya begitu teruja mahu menerima suntikan kedua sehingga bertanyakan perkara itu kepadanya hampir setiap hari.
“Saya sampai tidak larat hendak menjawab, saya pujuk nenek supaya bersabar dan bila sampai tarikhnya (hari ini), saya akan bawa nenek untuk disuntik sekali lagi. Hari ini, selepas solat Subuh, nenek awal-awal lagi sudah bersiap-siap,” katanya. -UTUSAN ONLINE