ATM, syarikat swasta bina hospital modular tampung pesakit - Utusan Malaysia

ATM, syarikat swasta bina hospital modular tampung pesakit

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Angkatan Tentera Malaysia (ATM) giat melaksanakan pembinaan hospital modular dengan kerjasama pihak swasta dalam usaha membantu kerajaan menampung pesakit ekoran peningkatan kes Covid-19. 

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pembinaan hospital yang mampu memuatkan 64 katil dan 16 unit rawatan rapi (ICU) dijangka siap dalam tempoh tiga bulan. 

Beliau berkata, kemudahan yang dibina dengan nilai RM20 juta merupakan persediaan bagi membantu Kementerian Kesihatan menampung pesakit sekiranya jumlah kes Covid-19 mencecah 13,000. 

“Hospital modular ini sumbangan WCT Holding Berhad dan selepas siap ia akan diserahkan kepada pihak Hospital Angkatan Tentera (HAT) Tuanku Mizan untuk kita operasikan.

” Pembinaan hospital ini menggunakan teknologi Pre-Fabricated Modules dijangka siap tiga bulan. Ini adalah contoh penglibatan swasta membantu kerajaan. Kita bukan sahaja menerima sumbangan seperti ini tetapi turut menerima bantuan peralatan seperti ventilator,” katanya dalam sidang akhbar secara maya selepas pelancaran Pembinaan Hospital Modular Covid-19 Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di HAT Tuanku Mizan, Kuala Lumpur di sini semalam.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, ATM merancang membina enam lagi hospital medan  tambahan kepada dua hospital sedia ada yang kini beroperasi di Kepala Batas, Pulau Pinang dan Kapit Sarawak selepas pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini.

Selain itu menurutnya, pihaknya juga kini sedang dalam proses menambah bilangan doktor dan paramedik menerusi lantikan kontrak kepada mereka yang telah bersara sebelum ini.

“Bagi permohonan pengambilan doktor dan paramedik iaitu secara kontrak, perkara itu akan diserahkan kepada  Muhyiddin untuk mendapatkan kelulusan.

” Saya harap apa yang dilakukan oleh ATM ini dapat membantu kerajaan menangani penularan wabak Covid-19 dan isu berkaitan vaksin,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, sebanyak enam pusat sehenti bagi pemberian vaksin secara pandu lalu akan dibina di enam kem tentera terpilih di seluruh negara.

” Buat masa ini pemberian vaksin melalui kaedah ini dibuat kepada anggota ATM dan keluarga mereka terdahulu. 

” Jika konsep ini berjaya dilaksanakan kita akan buka kepada orang awam untuk menerima vaksin secara pandu lalu dan tempatnya kita akan tentukan nanti,” katanya. -UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya