PETALING JAYA : Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Kuala Lumpur telah menyerahkan sumbangan tambahan Covid-19 berupa alat kelengkapan keselamatan kepada Malaysia dalam usaha membantu negara ini bagi memerangi pandemik Covid-19.
Kedutaan AS di Kuala Lumpur dalam kenyataan memaklumkan, bantuan itu juga merangkumi alat kelengkapan ICT yang telah diserahkan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dengan diwakili Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Aminuddin Hassim.
Bantuan itu juga membabitkan alat keselamatan seperti peralatan perlindungan diri (PPE), pelitup muka, cecair pembasmi kuman dan termometer untuk kegunaan para petugas barisan hadapan.
“Bantuan itu direalisasikan dengan usaha Pejabat Kerjasama Pertahanan (ODC) Kedutaan Amerika Syarikat, Pejabat Antarabangsa Kemanusian, Bencana dan Bantuan Kecemasan,” kata kenyataan itu hari ini.
Kenyataan itu memaklumkan, bantuan kedua itu termasuk sumbangan yang diberikan dari negara itu kepada Malaysia sehingga kini berjumlah AS$ 250,000.
Pada Mac lalu, Kedutaan AS di Kuala Lumpur telah melawat Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps) dan kemudian menyerahkan bantuan PPE kepada Kementerian kesihatan.
Dalam pada itu, Nadma mengucapkan terima kasih kepada pihak kerajaan Malaysia atas sumbangan tambahan oleh Amerika Syarikat melalui ODC dan Kedutaan AS.
“Sumbangan ini akan dimanfaatkan dengan baik untuk membantu petugas barisan hadapan kesihatan kita di dalam memerangi gelombang ketiga Covid-19 di negara ini. Sikap ini adalah bukti solidariti AS dan hubungan dua hala yang kuat bersama Malaysia,” katanya.
AS kini bekerjasama dengan inisiatif antarabangsa Covac untuk menyumbang 80 juta tambahan vaksin Covid-19 untuk program vaksin global yang dikendalikan oleh Pakatan Vaksin Global (GAVI) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Pada awal bulan ini, Presiden AS, Joe Biden mengumumkan bahawa negaranya akan menyumbangkan tujuh juta dos vaksin ke negara-negara Asia termasuk Malaysia.
habis