Arwah Bibi minta dimandikan sebelum lemas - Utusan Malaysia

Arwah Bibi minta dimandikan sebelum lemas

AWALAH (kiri) dan anak-anaknya meluangkan saat-saat terakhir bersama arwah Bibi di Taman Perkuburan Orang-orang Islam Kampung Contoh, Petagas, Sabah hari ini. -UTUSAN/SURAIDAH ROSLAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTATAN: “Kak tolong mandikan aku, kan tidak lama lagi kakak mahu kahwin,”.

Itu antara permintaan terakhir arwah Bibi atau Noraini Amit,13, yang lemas bersama dua beradik tiri dan sepupunya dalam kejadian di Pantai Gorongon berhampiran Kampung Contoh, Petagas, Selasa lalu.

Sebelum ini, arwah Bibi tidak pernah membuat permintaan sebegitu. Biarpun dia seorang yang manja, tapi itu kali pertama dia minta dimandikan sejak meningkat usia remaja.

Ibunya Awalah Antulah, 51, berkata, pada mulanya, dia tidak rasa pelik dengan permintaan anak ketiganya itu kerana menyangka hanya ingin bermanja dengan kakaknya sebelum berkahwin.

Bagaimanapun, tidak disangka bahawa itu adalah permintaan terakhir arwah kepada kakaknya.

“Arwah Bibi memang seorang yang penyayang dan rajin menolong bapanya menjual buah-buahan di kampung dan juga di pekan Putatan.

“Dia memberi layanan yang baik dengan adik-adiknya begitu juga dengan adik-beradik tiri yang lain. Memandangkan kami semua tinggal satu rumah, jadi, semua anak-anak dan anak tiri begitu rapat,” katanya selepas majlis pengebumian empat mangsa lemas di Tanah Perkuburan Orang-orang Islam Kampung Contoh, Petagas hari ini.

Awalah berkata, sifat arwah Bibi yang rajin bersedekah buah-buahan yang tidak habis dijual pasti akan sentiasa diingati.

Menurutnya, sebelum kejadian, dia ada melarang anaknya supaya jangan bermain di pantai.

Tidak lama kemudian, dia dikejutkan dengan berita anaknya itu lemas bersama dua lagi adik-beradik tiri dan sepupu mereka. Ketika itu, hanya Allah sahaja yang tahu betapa sukar untuk menerima hakikat kehilangan seorang anak yang baik.

Sementara itu, Azmi Amit,16, abang kepada Korais dan Rafidah berkata, tidak disangka tindakannya meninggalkan adik-adik mandi bersendirian membawa khabar yang duka.

“Pada mulanya, saya ada bersama mereka mandi di pantai. Ada 11 orang semuanya, tetapi, saya dan seorang adik lagi naik lebih awal sekitar 4 petang. Saya tidak risau sebab abang saya dan adik-adik lain ada di sana mandi sama-sama. Air pun pada masa itu hanya pada paras pinggang sahaja.

“Biarpun berat untuk menerima hakikat ini tapi kita kena redha dengan takdir, menangis mana sekalipun, mereka tidak akan hidup semula,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya