- PETALING JAYA : Perkembangan teknologi semasa perlu mendapat perhatian ibu bapa supaya mereka mengawasi anak mereka yang kini sukar berpisah dengan telefon pintar
Terkini satu aplikasi media sosial yang mula menimbulkan kebimbangan orang ramai adalah LitMatch yang sering dipromosi di laman Tiktok
Meluahkan kebimbangan mengenai isu tersebut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari Young Syefura Othman berkata, aplikasi TikTok begitu popular dalam kalangan belia dan mereka memuat turun aplikasi ini.
“Baru-barui ini laman Twitter, seorang pengguna telah mendedahkan kegiatan yang berlaku di aplikasi Lit Match ini setelah beliau sendiri memuat turun aplikasi tersebut.
Ujar pengguna berkenaan, terlalu ramai belia seawal usia 13 tahun menggunakan aplikasi tersebut dan mereka begitu terbuka berkongsi cerita dan perkara-perkara lucah.
“Menjadi kebimbangan saya ialah aplikasi ini digunakan oleh pedofilia untuk mencari mangsa-mangsa mereka dan aplikasi ini juga digunakan untuk tujuan child grooming.
“Kebanyakan belia yang memuat turun aplikasi ini masih terlalu muda untuk menyedari mengenai perkara seperti pedofilia dan child grooming. Mereka adalah golongan yang mudah dieksploitasi pada usia begini,” ujarnya kepada Utusan Malaysia.
Justeru beliau menggesa Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan segera menyiasat dan menutup akses ke aplikasi ini.
Jika tidak, dibimbingi kegiatan pedofilia berleluasa disebabkan aplikasi ini dan belia boleh terjebak dalam aktiviti pornografi kanak-kanak, pemerdagangan seks siber dan mungkin juga pelacuran.
“Terdapat juga saluran Telegram khas yang dibuka untuk aplikasi ini. Ini juga harus ditutup dan sesiapa yang memulakan saluran ini harus dihukum,” ujar beliau lagi.
Young Syefura yang jiga Penolong Setiausaha Wanita DAP Kebangsaan meminta ibu bapa peka dengan perkembangan dan aktiviti anak-anak mereka serta memantau kegiatan dan juga peranti yang digunakan oleh anak-anak.
Ibu bapa perlu mengambil tahu aplikasi yang dimuat turun oleh anak-anak apatah lagi ketika sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), anak-anak lebih kerap menggunakan peranti mereka. – UTUSAN ONLINE