Apa nasib 8 lagi feri ikonik Pulau Pinang? - Utusan Malaysia

Apa nasib 8 lagi feri ikonik Pulau Pinang?

MOHIDEEN ABDUL KADER
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa pihak berkuasa berkaitan mendedahkan status lengkap dan terkini lapan buah lagi feri ikonik negeri ini yang tidak lagi digunakan sebagai mod pengangkutan. 

Lapan buah feri itu adalah Feri Pulau Labuan; Pulau Rawa; Pulau Talang-Talang; Pulau Undan; Pulau Rimau; Pulau Angsa; Pulau Kapas dan Pulau Payar. 

Desakan itu dibuat Presidennya, Mohideen Abdul Kader yang turut melahirkan rasa terkejut dan marah dengan keadaan semasa sebuah lagi feri ikonik yang diberi nama Pulau Pinang yang dilaporkan hampir karam dan tersadai selepas dimasuki air. 

Menurut beliau, apa yang berlaku kepada Feri Pulau Pinang di Limbungan Bagan Dalam, Butterworth itu benar-benar memalukan kerana menunjukkan pengabaian sepenuhnya terhadap makna feri tersebut kepada negeri ini. 

Jelasnya, situasi itu juga menunjukkan kelalaian dalam tugas sebahagian daripada pihak pengurusan dan kakitangan yang bertanggungjawab terhadap feri tersebut. 

“Mereka yang bertanggungjawab perlu memberikan penjelasan terhadap perkara ini dan mendedahkan hasil siasatan kepada umum dan perlu dipecat jika terdapat elemen kecuaian. Sekiranya tidak, maka tiadalah akauntabiliti,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Sementara itu, Mohideen turut mempersoalkan mengapa kerja-kerja mengepam air keluar dari dalam Feri Pulau Pinang tersebut hanya dilakukan selepas perkara berkenaan menjadi tular di dalam media sosial. 

“Jika situasi feri ini tidak muncul di dalam media sosial, adakah Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) akan mengarahkan kontraktor untuk mengepam keluar air?” katanya. 

Dalam masa sama, beliau turut mempersoalkan mengapa badan feri itu tidak dibaiki sebelum air laut menghakisnya sehingga menyebabkan SPPP kini terpaksa mengeluarkan kos lebih tinggi untuk menutup lubang serta mengepam keluar air laut daripada dalam feri.  – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya