Annur Sofea Fitriah akhiri sembilan tahun penantian - Utusan Malaysia

Annur Sofea Fitriah akhiri sembilan tahun penantian

ANNUR Sofea Fitriah Risbi (kiri) dipeluk ibunya yang kelihatan sebak selepas memperoleh keputusan cemerlang 9A SPM 2020 di rumahnya di Perumahan Makmur Penor Utara Jaya di Kuantan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Cukup membanggakan.

Demikian pencapaian cemerlang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pekan, Annur Sofea Fitriah Risbi apabila memperoleh 9A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020.

Lebih membanggakan, keputusan diperoleh Annur Sofea Fitriah itu mengakhiri sembilan tahun penantian SMK Seri Pekan untuk ‘straight’ A SPM.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, bapa pelajar berkenaan, Risbi Mamat, 46, berkata, dia dimaklumkan oleh guru sekolah itu yang hadir ke rumahnya berhubung penantian sembilan tahun itu.

“Cikgu hadir ke rumah bagi memberikan hadiah kepada anak atas kejayaan memperoleh 9A sekali gus keputusan membanggakan buat sekolah.

“Saya dan isteri, Zaniza Mohamed, 45, bangga dan cukup gembira dengan keputusan dicapai oleh Annur Sofea Fitriah di sebalik kesukaran belajar akibat penularan wabak Covid-19,” katanya di sini Khamis lalu.

Sementara itu, Annur Sofea Fitriah berkata, melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) selama enam bulan cukup mencabar.

“Belajar secara dalam talian ini memang susah hendak faham kerana saya lebih suka belajar bersemuka di sekolah dan mudah bertanya jika tidak faham.

“Selain itu, apabila belajar di rumah, saya juga perlu menguruskan masa dengan baik antara bantu keluarga dan belajar,” katanya membantu ayah dan ibu yang bekerja sendiri menjual kuih kecil-kecilan.

Menurutnya, setelah memperoleh keputusan 8A 1B dalam percubaan SPM, dia memang meletakkan sasaran 9A untuk peperiksaan sebenar.

“Alhamdulillah sasaran saya tercapai berkat usaha dan tidak berputus asa belajar ketika PdPR dan bersemuka di sekolah. Terima kasih saya ucapkan kepada ibu bapa memberikan sokongan dan guru di sekolah yang banyak membantu,” katanya.

Menurutnya yang bercita-cita menjadi doktor, dia berhasrat menyambung pengajiannya dalam bidang itu di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Berhubung menjadi pelajar SMK Seri Pekan yang mengakhiri sembilan tahun penantian sekolah itu, anak kedua daripada enam beradik tersebut berkata, dia bersyukur ke hadrat Allah SWT dan langsung tidak menyangka berhubung perkara itu.

“Saya hanya melakukan yang terbaik untuk memperoleh keputusan terbaik, syukur alhamdulillah,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya