BUTTERWORTH: Seorang suri rumah kerugian sebanyak RM35,000 selepas mendakwa menjadi mangsa penipuan individu yang menyamar sebagai anak lelakinya semalam.
Wanita berusia 69 tahun itu dikatakan mula terjerat selepas menerima panggilan telefon daripada individu yang mengaku kononnya anak lelakinya baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, menerusi perbualan telefon itu, ‘anak’ mangsa memaklumkan beg duit dan telefonnya telah hilang dan mahu meminjam wang sebanyak RM8,000.
“Bagaimanapun mangsa yang terpedaya telah memindahkan wang sebanyak RM35,000 biarpun tanpa membuat pengesahan dan semakan terlebih dahulu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata, mangsa menyedari ditipu selepas menghubungi anak lelakinya untuk menuntut semula wang yang dipinjam tersebut namun anaknya memaklumkan tidak pernah membuat panggilan menggunakan nombor tersebut.
“Wanita itu kemudian membuat laporan polis semalam dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
“Kita mengingatkan orang ramai agar menghubungi individu sebenar untuk pengesahan terlebih dahulu sebelum melakukan sebarang pemindahan wang,” katanya. – UTUSAN ONLINE