KUANTAN: Anak muda perlu memainkan peranan proaktif bagi meyakinkan ibu bapa masing-masing dan juga masyarakat supaya mendaftarkan diri untuk menerima suntikan vaksin Covid-19.
Ahli Panel Pemikir Yayasan Era Suria, Amirul Hanzah berkata, adalah membimbangkan apabila hanya 7.6 juta daripada 26.7 juta penduduk Malaysia yang sudah mendaftar menerusi aplikasi MySejahtera untuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.
Katanya, seperti dimaklumkan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba, jumlah itu hanya mewakili kira-kira 30 peratus penduduk di negara ini.
“Mungkinkah kempen tidak cukup kuat atau mereka takut? ada juga yang mahu tunggu dan lihat.
“Sesetengah masyarakat mendakwa vaksin Covid-19 begitu begini, pelbagai tohmahan yang diberikan. Apakah mereka tidak dapat mengakses aplikasi MySejahtera di kawasan masing-masing?
“Pelbagai faktor yang dapat kita lihat. Justeru itu, anak muda perlu menyebarkan keyakinan kepada ibu bapa tentang keberkesanan vaksin dan manfaat selepas mendapat suntikan,” katanya dalam kenyataan di sini.
Amirul berkata, keberkesanan suntikan vaksin telah terbukti apabila statistik petugas kesihatan yang dijangkiti Covid-19 menunjukkan penurunan.
Selain itu, katanya, anak muda juga perlu memperjelaskan dan menidakkan isu-isu yang dimainkan golongan anti vaksin kepada ibu bapa.
Ini kerana katanya, golongan anti vaksin menyasarkan warga emas melalui media sosial dan lain-lain medium.
“Anak-anak juga boleh membantu ibu bapa mendaftar di MySejahtera kerana ada dalam kalangan ibu bapa yang kurang fasih tentang teknologi maklumat.
“Saya menyeru anak muda di luar sana memainkan peranan penting dan menjadi ejen kepada kerajaan untuk memastikan maklumat yang tepat dan penting kepada masyarakat setempat untuk meyakinkan mereka mendaftar suntikan vaksin ini,” katanya. -UTUSAN ONLINE