Ambil tindakan undang-undang pihak persenda Islam - Utusan Malaysia

Ambil tindakan undang-undang pihak persenda Islam

NASRUDIN HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perlecehan terhadap agama Islam seperti yang dilakukan seorang pengusaha kosmetik baru baru ini tidak boleh dibiar berlarutan apatah lagi ada penirunya sehingga menjadi contoh kepada pihak lain. 

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah (Yadim), Nasrudin Hassan menegaskan, bahkan mereka selayaknya diambil tindakan menerusi undang-undang agar Islam tidak lagi berani  dipersenda oleh sesiapa. 

Kata beliau, begitu juga ajaran sesat yang dibawa oleh seorang pengusaha produk yang mendakwa Nabi Muhammad SAW adalah Tuhan yang sebahagiannya menjadikan penghinaan terhadap Islam adalah untuk menarik perhatian, menaikkan rating berita serta melariskan produk mereka. 

“Tindakan demikian sangat tidak bermoral dan bermaruah. Malah selayaknya umat Islam  memulaukan mana-mana produk yang dipromosikan melalui cara menghina Islam dan Nabi  Muhammad SAW,” katanya dalam kenyataan semalam. 

Mengulas lanjut, Nasruddin berkata, tindakan mempersendakan agama Islam tidak boleh dibiarkan terus berlaku tanpa apa-apa tindakan apatah lagi ia dilakukan oleh mereka dalam kalangan umat Islam sendiri.

Beliau berkata,  perbuatan sedemikian amat menyedihkan sekali gus menjadi tambahan satu lagi tugas dan usaha dakwah yang perlu dilakukan semua umat Islam.

Bagaimanapun, katanya, Yadim bersedia untuk berdiskusi dengan puak-puak sebegini bagi meluruskan kefahaman mengenai Islam agama suci yang dianuti bahkan ia juga  adalah agama negara yang kita huni sekarang. 

“Selain daripada tindakan pihak berkuasa agama bagi memelihara kesucian Islam di negara ini,  saya menyeru umat Islam amnya dan para alim ulama khasnya agar melipat ganda usaha dakwah  untuk mengajak umat manusia kembali kepada agama Allah SWT. 

“Kejahilan mesti dibasmi. Rancangan di semua saluran media seperti elektronik,  cetak mahupun internet untuk membimbing serta membentuk pemikiran dan kefahaman Islam  yang benar perlu dilakukan dengan lebih serius,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, konsep Al-Amru Bil Makruf (melaksanakan tindakan sebagaimana aturan Syariah) dan An Nahyu  ‘Anil Mungkar (mencegah perkara yang bertentangan dengan syariah) perlu diaplikasikan dalam  setiap sendi dan agensi kerajaan bahkan juga rakyat bagi melahirkan sebuah negara Baldatun Toyyibah Wa Rabbun Ghafur.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya