PETALING JAYA: Mana-mana majikan yang didapati menipu pengoperasian mereka perlu diambil tindakan segera dengan lebih tegas dan bukannya sekadar dikenakan kompaun sahaja.
Presiden Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman berkata, mana-mana majikan yang didapati menipu untuk mendapatkan permit beroperasi dan permit perjalanan hendaklah dikenakan tindakan yang sewajarnya.
Katanya, sekiranya pihak majikan atau mana-mana pihak melakukan kesalahan sama yang berulang, maka tindakan yang lebih tegas hendaklah diambil termasuk pendakwaan di mahkamah.
“Bagaimanapun MEF berpendapat bahawa kompaun dan denda tidak dapat menyelesaikan peningkatan kes-kes jangkitan Covid-19 yang tinggi. Kerjasama erat antara semua pemegang taruh amat penting untuk memutuskan rantaian Covid-19.
“Kadar vaksinasi juga perlu ditingkatkan segera terutamanya membabitkan pekerja di 17 sektor ekonomi kritikal yang dibenarkan beroperasi agar dapat mengurangkan risiko jangkitan wabak dikalangan pekerja,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kes jangkitan Covid-19 kluster tempat kerja amat membimbangkan apabila sektor pengilangan menjadi penyumbang utama bilangan kluster tertinggi berbanding sub kategori lain iaitu sebanyak 46.5 peratus dan diikuti sektor perkhidmatan yang merekodkan 20 peratus kluster baharu .
Syed Hussain berkata, semua pihak sama ada dikalangan majikan, pekerja dan juga orang awam perlu meningkatkan disiplin untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dalam usaha memenangi perjuangan memerangi wabak.
“MEF menasihatkan majikan supaya memastikan pematuhan SOP yang ketat di tempat kerja seperti penyediaan cecair pembasmi kuman, pelitup muka setiap masa dan mengelakkan pekerja berkumpul di ruang yang sempit.
“Majikan juga perlu memainkan peranan proaktif memastikan langkah pencegahan penularan Covid-19 diambil dan diikuti pekerja di tempat penginapan seperti memastikan katil disusun mengikut penjarakan sekurang-kurangnya satu hingga dua meter serta mengelakkan pekerja makan beramai-ramai di ruang makan,” katanya.
Tambah beliau, kerjasama antara semua pemegang taruh adalah kritikal bagi memastikan tempat kerja dan penginapan pekerja berada dalam keadaan kondusif, selamat dan sihat.
“Pekerja perlu memastikan kebersihan tempat penginapan termasuk tandas dan persekitaran dengan kerap. Mereka hendaklah sentiasa mematuhi SOP ditetapkan semasa di tempat kerja dan di tempat penginapan untuk keselamatan diri dan memaklumkan segera kepada majikan sekiranya mengalami gejala Covid-19,” katanya.
Dalam pada itu, Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Datuk Abdul Halim Mansor berkata, kerajaan harus mengambil tindakan undang-undang dengan segera agar dapat menimbulkan sedikit ketakutan dalam kalangan majikan yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP)
Katanya, apabila pelaksanaan dalam bentuk pentadbiran masih gagal, maka ia menyebabkan sesetengah majikan tidak mengambil peduli.
“Sememangnya peratura sudah ketat, tetapi perlu dikuat kuasakan. Apabila kurang penguat kuasaaan atau pelaksanaan, maka majikan menganggap itu sebagai satu bentuk amaran sahaja,” katanya.- UTUSAN ONLINE