KUALA SELANGOR: Demi memastikan ada makanan di atas meja rumahnya, seorang nelayan, Mahadi Mukti, 53, sanggup mengambil risiko turun ke laut bagi mencari rezeki.
Sudah empat tahun dalam bidang itu, Mahadi berkata, dia sentiasa berdebar-debar setiap kali ke laut kerana bimbang ditahan pihak berkuasa kerana tidak mempunyai lesen menangkap ikan.
“Saya sudah membuat permohonan dengan Jabatan Perikanan Selangor beberapa tahun lalu, namun sehingga kini lesen itu belum diperoleh.
“Begitupun, risiko perlu diambil kerana empat anak sedang belajar di universiti dengan masing-masing memerlukan duit belanja,” katanya ketika ditemui di jeti nelayan Sungai Yu, di sini baru-baru ini.
Selain perbelanjaan anak-anak, dia juga perlu membayar duit pinjaman pembelian bot kepada sebuah agensi kerajaan negeri, dengan bot yang dibelinya bernilai RM7,500.
Sementara itu Mahadi berkata, musim hujan serta angin bergelora yang berlaku ketika ini menyukarkannya menangkap ikan.
“Kadang-kadang, saya pulang dengan tangan kosong meskipun berada lebih lapan jam di laut.
“Kalau hari itu tidak dapat hasil di laut, saya akan sungai berdekatan jeti ini pula untuk menangkap udang,” katanya dengan nada sebak.
Menurutnya, secara purata dia memperoleh pendapatan bersih bulanan sebanyak RM1,500 dan duit tersebut digunakan sebaik mungkin.
Justeru dia berharap kerajaan dapat membenarkan nelayan yang tidak mempunyai lesen untuk dibenarkan turun ke laut bagi menangkap ikan.
“Pendapatan kami ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Harap kerajaan boleh pertimbangkan rayuan saya ini,” katanya.