Ally Shafika pelajar Orang Asli cemerlang SPM - Utusan Malaysia

Ally Shafika pelajar Orang Asli cemerlang SPM

ALLY Syafika Abdul Rahman (tengah) menerima ciuman tahniah daripada ibu bapanya di perkampungan Orang Asli Batu 55 Jalan Maran-Jerantut di Maran, Pahang. - UTUSAN/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARAN: Kekangan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) tidak menghalang seorang anak masyarakat Orang Asli etnik Semaq Beri di sini memperoleh keputusan cemerlang 8A 1B dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020.

Pelajar tersebut, Ally Shafika Abdul Rahman, 18, menjadikan cabaran belajar sendiri sebagai batu lonjatan untuk meraih kejayaan lebih bermakna kepada keluarga dan guru-guru di sekolah.

Katanya, setiap pelajar perlu positif menerima cara belajar norma baharu pelaksanaan PdPR kerana ia kaedah terbaik ketika penularan Covid-19.

Dia mengakui bahawa cabaran getir dihadapi oleh masyarakat Orang Asli seperti yang masih belum terdedah sepenuhnya akan kepentingan pendidikan sebagai pemangkin pengubah status keluarga.

“Walaupun keberkesanan belajar bersemuka dengan guru lebih baik berbanding secara PdPR tetapi kita perlu terima hakikat cara belajar lebih praktikal ketika pandemik Covid-19.

“Dalam hal ini saya terhutang budi kepada guru-guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Maran yang komited melaksanakan program pembelajaran secara dalam talian,” katanya ketika ditemui di kediamannya di perkampungan Orang Asli Batu 55 Jalan Maran-Jerantut di sini semalam.

Ally Shafika berkata, selain kelas secara dalam talian, para guru juga menghantar bahan bercetak soalan setiap subjek ke rumahnya dan selepas dijawab ia dihantar semula kepada guru berkenaan.

ALLY SHAFIKA

Beliau berkata, dia juga belajar secara berkumpulan dengan rakan-rakannya yang mana dua orang daripada mereka memperoleh 2A dalam SPM 2020.

Anak kedua daripada empat beradik itu yang bercita-cita menjadi doktor berbangga kerana bapanya Abdul Rahman Abdul Karim, 44, dan ibunya, Zuzana Amir, 44, begitu mementingkan pendidikan anak- anak.

Menurutnya, kakak sulungnya, Ally Jeslina, 21, sedang menuntut di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dalam bidang Sains Marin.

“Saya berharap dengan keputusan SPM ini akan menjadi pemangkin untuk menyambung pengajian di peringkat universiti,” katanya.

Jelasnya, ketika menyemak keputusan SPM 2020 secara dalam talian dibiliknya kira-kira pukul 9 pagi, dia menjerit kegembiraan dan menangis melihat keputusan cemerlang 8A kerana ia diluar jangkaan.

” Ibu dan ayah yang terkejut bergegas ke bilik bimbang berlaku apa-apa turut menangis kegembiraan,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN