SEREMBAN: Sebanyak 125 kertas siasatan berhubung pelanggaran pelbagai kesalahan di bawah Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) telah diambil tindakan pendakwaan di Mahkamah Sesyen di seluruh negara.
Jumlah tersebut merupakan daripada keseluruhan 742 kertas siasatan yang dibuka sehingga ke hari ini dengan kesalahan tersebut dilakukan oleh majikan daripada pelbagai sektor.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M.Saravanan berkata, daripada jumlah tindakan pendakwaan itu, sebanyak 49 kes pendakwaan telah selesai dengan jumlah denda dibayar sebanyak RM352,000.
“Sebanyak 265 kertas siasatan pula telah dberi izin kompaun yang melibatkan tawaran kompaun berjumlah RM2,314,000 terhadap majikan-majikan yang melakukan kesalahan di bawah Akta 446.
“Kebanyakan kesalahan yang dilakukan ialah kerana menempatkan pekerja di penginapan tanpa perakuan daripada Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja serta tidak mematuhi kehendak minimum atau tidak menyediakan kemudahan asas kepada pekerja,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengetuai Operasi Pematuhan Akta 446 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di sebuah kilang di Nilai dekat sini hari ini.
Dalam pada itu, tambah beliau, pihak kementerian melalui Jabatan Tenaga Kerja (JTK) akan berterusan melaksanakan pemeriksaan penguatkuasaan Akta 446.
Tambahnya, pada tahun ini, jumlah majikan yang telah diperiksa adalah sebanyak 19,010 yang melibatkan sejumlah 106,593 buah penginapan.
“Dalam hal ini, saya harap pihak berkuasa tempatan (PBT) juga perlu ambil peranan bukan JTK sahaja, daripada segi penginapan, JTK boleh ambil tindakan, tetapi, daripada segi struktur, masih di bawah bidang kuasa PBT,” katanya.
Sementara itu, Saravanan memberitahu, Kementerian Sumber Manusia mempunyai kuasa untuk mengarahkan sesebuah majikan untuk menghentikan operasi mereka sekiranya didapati tidak patuh dengan Akta 446 walaupun mereka mempunyai kebenaran untuk beroperasi dalam sektor perkhidmatan perlu.
“Kementerian Sumber Manusia tidak terlibat (kementerian yang mengawal selia perkhidmatan perlu), kami jalankan aktiviti penguatkuasaan. Kami tidak boleh lulus kemudian kami lakukan penguatkuasaan.
“Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) boleh lulus tetapi kalau tidak patuh dengan Akta 446, kami boleh arahkan mereka tutup,” katanya lagi. -UTUSAN ONLINE