JOHOR BAHRU: Polis sedang meneliti akaun-akaun bank yang disyaki berkaitan dengan sindiket didalangi Nicky Liow Soon Hee yang kini menjadi buruan pihak berkuasa termasuk akaun peribadi individu yang terlibat.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, polis sedang menunggu laporan termasuk daripada Bank Negara Malaysia (BNM) dan bank-bank lain berhubung siasatan terhadap kegiatan kumpulan jenayah terancang ‘Geng Nicky’.
Jelasnya, pihaknya juga sedang dalam proses memperkemas dan melengkapkan kertas siasatan.
“Kita sedang menunggu laporan BNM serta laporan dari bank-bank yang lain serta banyak lagi perkara yang diuruskan. Geng Nicky ini bukan kecil, operasinya cukup besar dan meluas. Ia melibatkan banyak transaksi membabitkan pelbagai akaun peribadi serta akaun syarikat.
“Jadi, proses ini akan memakan sedikit masa untuk diperkemaskan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.
Ayob Khan berkata, setakat hari ini, belum ada tangkapan baharu dan sebarang perkembangan terkini mengenai kes berkenaan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
9 Mei lalu, Polis Johor mendapat beberapa petunjuk baharu berkaitan kumpulan jenayah terbabit daripada suspek yang ditahan bagi membantu siasatan sebelum ini.
Bagaimanapun, perkembangan itu tidak mendedahkan petunjuk atau sebarang kenyataan lanjut kerana siasatan masih berjalan.
Pada 9 April lalu, seramai 14 individu termasuk dua adik ahli perniagaan terbabit didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas tuduhan terbabit dalam kumpulan Geng Nicky.
Nicky, 33, adalah pengasas kepada Winner Dynasty Group yang berpusat di Setiawalk Puchong, Selangor menjadi buruan polis selepas 68 ahlinya ditahan dalam Op Pelican 3.0 bermula 20 hingga 28 Mac lalu.