PUTRAJAYA: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah wajar mempertimbangkan penubuhan kerajaan darurat dengan mendapatkan respon daripada pemimpin politik ketika majlis menghadap dengan Seri Paduka Baginda.
Pakar perlembagaan, Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, ia antara perkara yang boleh diteliti Seri Paduka Baginda dalam sesi itu untuk mengambil setiap pandangan para pemimpin politik serta bertukar-tukar pandangan sebelum memutuskan banyak isu penting yang sedang berlegar-legar dalam fikiran rakyat.
Menurut beliau, pelaksanaan kerajaan darurat bergantung jika tempoh darurat perlu dilanjutkan selepas 1 Ogos ini dengan melihat tiga bentuk kerajaan darurat yang dicadangkan, iaitu pertama, terdiri daripada semua pemimpin parti politik; kedua, terdiri daripada sejumlah ahli Parlimen mewakili semua parti politik; ketiga, sebuah jawatan kuasa seperti Majlis Gerakan Negara (Mageran) yang menggantikan fungsi Jemaah Menteri.
Beliau berkata, ketiga-tiga bentuk Kabinet atau jemaah menteri di atas hanya boleh berlaku dalam tempoh darurat atau ketika satu ordinan darurat yang membenarkan bentuk sedemikian masih berkuat kuasa.
“Tanpa darurat, cadangan tersebut tidak boleh dilaksanakan kerana bentuk kerajaan darurat itu adalah bercanggah dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan. Ini kerana pelantikan ahli jemaah menteri selain Perdana Menteri adalah mengikut nasihat Perdana Menteri dan tertakluk pada syarat di bawah Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan.
“Selagi peruntukan Perkara 40(1) dan Perkara 43 tidak dipinda atau digantung, maka Agong tidak boleh menentukan sendiri ahli Jemaah Menteri mengikut budi bicara Seri Paduka Baginda. Seperti nama kerajaan darurat, ia mestilah berlaku dalam tempoh darurat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Wan Ahmad Fauzi berkata, dalam keadaan sekarang, untuk membolehkan kerajaan darurat dilaksanakan, ordinan boleh digubal setelah tujuan darurat pada hari ini diperluaskan melalui proklamasi baharu oleh Yang di-Pertuan Agong.
Justeru, katanya, sebelum keputusan untuk memperkenankan bentuk kerajaan darurat seperti yang dicadangkan, majlis menghadap itu boleh dimanfaatkan bagi Yang di-Pertuan Agong meninjau pandangan para pemimpin politik.
“Majlis menghadap itu jika berlaku dalam masa terdekat ini merupakan langkah bijaksana dan wajar oleh Seri Paduka Baginda melihat kepada pelbagai tuntutan pemimpin politik dan persepsi dalam kalangan rakyat sejak akhir-akhir ini.
“Ia boleh dijadikan sebagai forum untuk menyampaikan kegelisahan dan pandangan rakyat sejak Parlimen belum lagi bersidang dan Seri Paduka Baginda boleh menilai sendiri cadangan para pemimpin di luar kerajaan tentang teguran dan rasa tidak puas hati terhadap polisi dan pelaksanaan dasar kerajaan,” katanya.
Pada masa sama, kata beliau, Yang di-Pertuan Agong boleh menimbang cadangan-cadangan para memimpin politik bagaimana langkah-langkah perlu untuk menangani penularan wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.
Jelasnya, Seri Paduka Baginda boleh mendapatkan pandangan tentang tuntutan sebahagian rakyat yang mahu Baginda bertindak tanpa nasihat Jemaah Menteri untuk memanggil sidang Parlimen. -UTUSAN ONLINE