SHAH ALAM: Yang di-Pertuan Agong boleh mengarahkan ahli Parlimen bersidang semula tanpa mendapat nasihat daripada Perdana Menteri, apabila Ordinan Darurat berkuat kuasa.
Anggota Jawatankuasa Khas Bebas Darurat, Tan Sri Noh Omar berkata, Perlembagaan Persekutuan dapat diatasi Seri Paduka setelah ordinan tersebut diaktifkan sekaligus baginda tidak melanggar perlembagaan berkenaan.
“Seri Paduka tidak tertakluk di bawah Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan untuk bertindak menurut nasihat Kabinet apabila Ordinan Darurat berlangsung.
“Tambahan pula, Seksyen 14 Ordinan Darurat secara spesifik menggantung operasi Perlembagaan dalam hal memanggil atau memprorog atau menangguh sidang Parlimen dengan kuasa tersebut diletakkan kepada Seri Paduka,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook rasminya, hari ini.
Meneliti maksud di dalam seksyen tersebut, Ahli Parlimen Tanjong Karang itu berkata, baginda boleh bertindak menurut budi bicaranya tanpa tertakluk kepada nasihat Kabinet.
Semalam, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan pandangan agar sidang Parlimen diadakan secepat mungkin.
Titah Seri Paduka, ini membolehkan Ordinan-Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dapat dibahaskan oleh ahli Dewan Rakyat.
Titah Baginda turut dipersetujui lapan Raja-Raja Melayu yang berangkat Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu yang berlangsung di Istana Negara, kelmarin.-UTUSAN ONLINE