PETALING JAYA : Agenda peribadi dan kewujudan pelbagai ‘kabilah’ dalam UMNO dengan cita-cita tersendiri merupakan masalah utama yang boleh meruntuhkan parti itu, yang kini menjadi penentu kestabilan kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Naib Presiden UMNO, Datuk Mohamed Khaled Nordin berkata, hal ini kerana sejak kebelakangan ini, terlalu banyak pertindihan pendirian sehingga ahli dan rakyat menjadi bingung dengan mana satu pendirian UMNO yang sebenarnya.
Justeru, beliau menegaskan, UMNO harus teguh dengan keputusan parti sebagai satu ketetapan iaitu hanya institusi Presiden dan Majlis Tertinggi sebagai pengemudi perjalanan parti.
“Segala yang di luar institusi itu bukan mewakili kepentingan parti malah adalah elemen yang bercanggah dengan parti. Sama ada kita bersetuju atau tidak dengan individu atau tokoh tertentu dalam kepimpinan parti, biarlah kita simpan dalam nurani kita, namun disiplin parti mesti kita kekalkan.
“Mereka yang terpilih dek keputusan perwakilan adalah wakil sebenar parti dan kepada merekalah kita sandarkan keyakinan. Tanpa disiplin, parti akan jadi bahan persendaan ahli dan rakyat. Tanpa kesatuan, UMNO akan meleset dalam seteruk-teruk kemelesetan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Oleh itu, Mohamed Khaled kemudian menyeru kepada semua ‘kabilah’ dalam parti untuk kendurkanlah cita-cita masing-masing demi menyelamatkan UMNO dengan semua kembali sebagai hanya satu pasukan demi tanah air.
“Namun, itu tidak bermakna kalian harus memadam cita-cita untuk memimpin bangsa suatu hari nanti. UMNO sentiasa bersedia menonjolkan hanya yang terbaik apabila saat dan ketikanya sampai tetapi mesti mengikut resmi dan tradisi UMNO.
“Semoga Allah membuka seluas-luasnya pintu persaudaraan di kalangan kita dan semoga Allah melembutkan hati sang ‘panglima’ dalam UMNO untuk bertaut kembali demi UMNO yang satu-satunya,” ujar beliau. -UTUSAN