ALOR SETAR: Kesemua 15 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas Kedah bersetuju menyumbang 70 peratus daripada gaji mereka pada bulan ini bagi membantu golongan yang terkesan dengan Covid-19.
Ketua Penerangan Pas Kedah, Mohd. Azam Abd. Samat berkata, sumbangan itu akan terbahagi kepada dua bahagian dengan 50 peratus daripadanya diberikan kepada Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB).
“Lagi 20 peratus akan disumbangkan kepada Tabung Bencana Covid-19 yang dilancarkan Pas Pusat. Sumbangan 70 peratus gaji itu bertujuan membantu rakyat yang terkesan dengan pandemik Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Semalam, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan memaklumkan, satu sekretariat khas dianggotai Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Pas Pusat, Lajnah Kesihatan Pas Pusat dan Khidmat Malaysia Pas Pusat akan ditugaskan untuk mengendali serta menguruskan tabung berkenaan.
Menurut Takiyuddin, Badan Perhubungan Pas di negeri-negeri pula akan menguruskan kutipan dana daripada ahli parti serta orang awam.
Sementara itu, Mohd. Azam menyeru golongan berkemampuan agar sama-sama menghulurkan tangan bagi membantu golongan yang terkesan dengan keadaan semasa.
“Pada masa ini janganlah hanya berbicara mengenai tangan yang menerima tetapi jadilah juga golongan yang memberi. Biarlah pada waktu sukar ini, kita harungi cabaran bersama. Semoga Allah menerima segala amal soleh dan permudahkan segala urusan,” katanya.