ADUN Dengkil sumbang elaun tiga bulan ke dalam Akaun Amanah Bencana - Utusan Malaysia

ADUN Dengkil sumbang elaun tiga bulan ke dalam Akaun Amanah Bencana

ADHIF SYAN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG- Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil, Adhif Syan Abdullah mengumumkan hasrat beliau untuk menyumbang elaunnya selama tiga bulan ke dalam Akaun Amanah Bencana bermula bulan ini.

Adhif Syan berkata, langkah tersebut tidak teragak-agak diambilnya atas nalurinya sendiri tanpa arahan mana-mana pihak.

“Langkah berikut diambil atas kehendak saya sendiri selepas melihat keikhlasan serta kesungguhan usaha memerangi Covid-19 oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, harapannya kini adalah lebih ramai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) dari kerajaan Selangor turut mengambil langkah yang sama sebagai tanda solidariti dalam usaha menangani Covid-19.

Katanya lagi, beliau berharap ADUN-ADUN PH dari kerajaan Negeri Selangor serta lain-lain negeri di seluruh negara turut berbuat demikian bagi menunjukkan tanda solidariti terhadap usaha kerajaan melawan pandemik Covid-19.

“Saya sarankan ADUN-ADUN PH berhenti mencari kesalahan kerajaan sebaliknya mencontohi pemimpin PN dalam pengorbanan serta komitmen yang ditunjukkan dengan menyumbang elaun mereka kearah yang sama,” katanya.

Ujarnya lagi, usaha memerangi Covid-19 sepatutnya dilakukan semua pihak kerana pandemik tersebut melibatkan rakyat seluruh negara ini.

“Jika pihak pembangkang tidak ada apa untuk disumbangkan, mereka tidak wajar mengganggu usaha cemerlang kerajaan Persekutuan,” jelasnya.

Sebelum ini, ADUN Rantau, Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan turut bersetuju memberi semua gaji dan elaunnya selama enam bulan kepada Pusat Khidmat DUN Rantau bagi membantu masyarakat di kawasannya yang terkesan akibat sekatan pergerakan penuh fasa pertama.

Langkah tersebut turut dilakukan oleh Ahli-ahli Parlimen Penyokong Kerajaan Perikatan Nasional (PNBBC) yang bersetuju menyumbang 30 peratus gaji bulanan untuk tempoh tiga bulan ke dalam Akaun Amanah Bencana Negara. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya