MELAKA: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari perlu membuktikan dakwaannya berhubung berlaku ketirisan dan pilih kasih dalam pemberian vaksin Covid-19 di negeri ini.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Melaka, Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen berkata, beliau sendiri tidak mengetahui tentang tuduhan tersebut dan menggesa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Katil itu tampil dengan bukti kukuh.
Jelas beliau, beban untuk membuktikan segala dakwaan tidak berasas kini terletak pada Adly.
“Kalau tuduhan secara semberono saja, semua orang pun boleh buat. Sebagai bekas Ketua Menteri, beliau perlu kemukakan bukti yang menunjukkan berlaku amalan pilih kasih seperti yang didakwa,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar penyampaian sumbangan di Kedai Prihatin Rakyat di sini hari ini.
Semalam, Adly yang juga Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka menggesa kerajaan negeri menyiasat kaedah pemberian vaksin Covid-19 yang dilaksanakan oleh syarikat milik kerajaan (GLC) negeri.
Menurut Adly, terdapat laporan yang mendakwa vaksin diberikan kepada individu tidak sepatutnya seperti orang kenamaan (VIP) dan ‘kawan-kawan’.
Sementara itu, mengenai Kedai Prihatin Rakyat secara pandu lalu, Mohd. Rafiq yang juga ADUN Paya Rumput berkata, sumbangan berupa barang keperluan asas itu melibatkan peruntukan hampir RM50,000.
Katanya, sebanyak 2,000 papan telur dan ayam segar diagihkan kepada masyarakat di sekitar Paya Rumput.
“Inisiatif PN Melaka ini bukan sahaja membela masyarakat yang terkesan dengan pandemik Covid-19, malah turut membantu peniaga-peniaga kecil meningkatkan pendapatan.
“Sambutan yang diterima hari ini sangat menggalakkan dan dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan. Dianggarkan sebanyak 2,000 isi rumah mendapat manfaat daripada program ini,” ujarnya.
HABIS///
MOHD. RAFIQ Naizamohideen (kiri) menyampaikan sumbangan barangan keperluan asas secara pandu lalu kepada pengunjung Kedai Prihatin Rakyat di Taman Rambai Jaya, Bukit Rambai, Melaka. – UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI