PUTRAJAYA: Jumlah pesalah ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seluruh negara semalam merekodkan paling tinggi tahun ini iaitu 987 individu, sekali gus mengatasi angka terbesar pada 7 Februari lalu yang mencatatkan sejumlah 950 pesalah.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bilangan itu meningkat berbanding 792 individu yang dicekup kelmarin dengan seramai 939 dikompaun, 47 direman dan seorang dijamin hasil pemantauan yang melibatkan 83,842 pemeriksaan oleh Task Force Operasi Pematuhan.
“Kesalahan tertinggi kali ini ialah tidak memakai pelitup muka dengan 218 kes diikuti pula merentas kawasan dan makan di premis iaitu 196 kes, gagal merekod butiran diri (135), membawa penumpang berlebihan (127), tiada jarak fizikal (125), tidak patuh arahan PKP (68), aktiviti pusat hiburan (35) dan lain-lain (83),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Ismail Sabri, seramai 11 pendatang asing tanpa izin dan sebuah kenderaan darat turut disita semalam melalui Operasi Benteng manakala sebanyak 184 bot atau kapal yang dicurigai dikesan berdekatan dengan perairan negara melalui 10 aktiviti penglihatan oleh pasukan keselamatan.
Katanya, seramai 497 individu yang tiba di tanah air semalam dikuarantin wajib bersama sejumlah 8,863 individu masih lagi menjalani perintah itu selain 2,315 individu dibawa ke hospital, manakala 206,348 individu sudah dibenarkan balik ke rumah.
“Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pula semalam membuat pemantauan 11 jenis bekalan barangan di 492 peruncit, 155 pemborong dan 31 pengilang selain melakukan sejumlah 1,578 pemeriksaan khas pematuhan SOP dengan hanya tujuh premis yang terlibat diberikan nasihat tegas,” katanya.
Beliau juga mengesahkan, cuma seorang pekerja asing didapati positif Covid-19 hasil saringan dari 102 pekerja asing semalam. -UTUSAN ONLINE