PUTRAJAYA: Jumlah pesalah ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seluruh negara semalam merekodkan 958 individu ditahan semalam berbanding 780 individu diberkas kelmarin dengan seramai 910 dikompaun, 32 direman dan seorang dijamin.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kesalahan tertinggi masih lagi berkaitan gagal penjarakan fizikal sebanyak 232 kes diikuti merentas kawasan dan makan di premis iaitu 196 kes, tidak memakai pelitup muka (135), gagal merekod butiran di premis (112), tidak mematuhi arahan PKP (105), membawa penumpang berlebihan (63) dan lain-lain lagi (115).
Kata beliau, seramai sepuluh pendatang asing tanpa izin turut ditahan dan lapan buah kenderaan darat dirampas melalui Operasi Benteng selain sebanyak 207 buah bot atau kapal yang dicurigai turut dikesan berdekatan dengan perairan negara melalui lapan aktiviti penglihatan oleh pasukan keselamatan.
“Seramai 516 individu tiba di tanah air semalam diarahkan kuarantin bersama sejumlah 8,509 individu terbabit masih lagi berada di pusat kuarantin manakala 2,678 individu dibawa ke hospital dan 214,837 individu lagi sudah dibenarkan balik ke rumah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ismail Sabri berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pula semalam melakukan sejumlah 1,809 pemeriksaan khas pematuhan SOP dengan hanya sebanyak tujuh premis terlibat dikenakan kompaun.
Sementara itu, beliau berkata, sebuah kediaman pekerja warga asing di Johor antara tujuh lokaliti di negara ini bakal dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai Rabu ini hingga 29 Jun.
“Secara kumulatif, seramai 128 individu disahkan positif Covid-19 daripada 237 penghuni kediaman pekerja itu yang terletak di Jalan Rivera, Kawasan Perindustrian Tanjung Agas, Daerah Tangkak,” kata beliau menerusi kenyataan akhbar hari ini.
Turut dikenakan perintah yang sama katanya, ialah dua lokaliti di Bukit Dinding, Bahagian Mukah, Sarawak yang sudah pun merekodkan keseluruhan 45 kes positif melibatkan Rumah Panjang Alat anak Mukan dan Mukah Palm Oil Mill, sebuah kilang minyak kelapa sawit milik Sarawak Plantation Berhad di Kilometer 13, Jalan Sibu-Bintulu.
Sementara itu, di Sabah kata Ismail Sabri, empat lokaliti turut dilaksanakan PKPD secara serentak yang berkuat kuasa pada lusa antaranya Kampung Sundang Laut di Bahagian Sandakan, Kampung Skim Cocos, di Kunak, Bahagian Tawau serta dua lagi di Penampang, Bahagian Pantai Barat iaitu Country Heights Apartment dan Vista Minintod Apartment.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan PKPD yang melibatkan 11 rumah panjang dan Sekolah Kebangsaan Stalon di Tanjung Manis, Mukah, Sarawak dilanjutkan lagi sehingga 29 Jun ini iaitu rumah panjang Mut anak Merom @ Bohom, Sana anak Changgai, Jimbun anak Saging, Bon anak Depa, Empading anak Edi, Jaapar anak Anyut dan Jebat anak Talak.
Rumah panjang yang turut dikenakan PKPD ialah Puso anak Lunak, Nyalau anak Engkamat, Noh anak Bin dan Damat anak Enggie dengan kes dipercayai daripada majlis pengebumian.
Turut disambung lagi PKPD yang sepatutnya berakhir esok, namun, diteruskan sehingga 22 Jun depan ujarnya ialah Felda Trolak Utara, Mukim Sungkai, Daerah Batang Padang, Perak.
Bagaimanapun Ismail Sabri menambah, PKPD meliputi 28 mukim dalam Daerah Kota Setar di Kedah ditamatkan esok seperti dijadualkan termasuk di Kampung Pagi, Ulu Tembeling, Daerah Jerantut, Pahang manakala di Bandar Bentong, Pahang tamat lebih awal berbanding sepatutnya Sabtu ini.
“Tidak ketinggalan berakhir PKPD yang lebih awal daripada jadualnya 16 Jun ini ialah Rumah Panjang Wun anak Ering, Tanjung Manis, dan Kampung Bunuh, Bahagian Mukah, Sarawak,” katanya. -UTUSAN ONLINE