89,545 individu terima vaksin di PPV IPT - Utusan Malaysia

89,545 individu terima vaksin di PPV IPT

NORAINI AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seramai 89,545 individu mendapatkan vaksin Covid-19 di 19 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) institut pengajian tinggi (IPT) sehingga 30 Mei lalu.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, kesemua PPV IPT itu berkemampuan untuk memberi 14,400 vaksin sehari atau 432,000 vaksin sebulan.

Menurut beliau, daripada jumlah itu, enam universiti dikategori Jenis 1 iaitu mempunyai kapasiti pemberian 200 vaksin sehari; empat universiti Jenis 2 (400 vaksin), satu universiti iaitu Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Jenis 3 (600 vaksin); enam PPV IPT jenis 5 (1,000 vaksin) dan sebuah PPV mega iaitu Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang dipecahkan kepada dua kampus (kampus Shah Alam dan kampus Puncak Alam) dengan kapasiti vaksin 5,000 sehari.

Beliau berkata, fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang bermula Februari lalu melibatkan enam Hospital Pengajar Universiti (HPU) di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dengan melibatkan keseluruhan pemberian vaksin kepada 29,397 orang petugas barisan hadapan.

“Bagi fasa kedua, empat HPU iaitu Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Hospital Canselor Tunku Mukhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) dan Hospital UiTM terlibat sebagai PPV Khas (SPPV) iaitu pemberian vaksin kepada pesakit HPU masing-masing yang termasuk di bawah kategori fasa kedua (warga emas dan golongan berisiko tinggi) bermula April sehingga Ogos ini.

“Setakat 30 Mei lalu, seramai 3,693 orang pesakit menerima dos vaksin pertama mereka di empat HPU ini, manakala seramai 704 orang pesakit menerima dos vaksin kedua,” katanya dalam sidang akhbar bersama Menteri Kesihatan , Datuk Seri Dr. Adham Baba di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Kuala Lumpur, hari ini.

Noraini berkata, selain daripada penglibatan HPU dalam PICK, universiti awam (UA) turut terlibat sebagai PPV awam dalam pemberian vaksin AstraZeneca (AZ) kepada kumpulan yang memilih vaksin ini secara sukarela.

Katanya, seramai 29,318 orang awam menerima vaksin AZ di Universiti Malaya (UM), manakala 27,137 orang menerima di UKM setakat 30 Mei lalu.

Dalam pada itu, Noraini berkata, PPV HCTM akan dijadikan pemberian vaksin secara pandu lalu dan pertama untuk mobil dengan memfokuskan kepada penduduk di kawasan bandar dan luar bandar terutama bagi mereka yang mempunyai masalah capaian akses kepada vaksin atau kesukaran kemudahan kenderaan untuk mendapatkan vaksin.

“Dengan adanya pelaksanaan program pemberian vaksin secara pandu lalu dan bergerak ini, ia akan mempercepatkan proses pemberian vaksin dan sekali gus dapat mencapai imuniti kelompok dengan lebih cepat.

“KPT komited menggerakkan semua tenaga kerja kesihatan UA dan HPU yang terdiri daripada Pegawai Perubatan, Pegawai Pergigian, Pegawai Farmasi, Pensyarah Perubatan, Penolong Pegawai Perubatan dan Jururawat untuk terlibat dalam PPV IPT bagi memastikan sasaran 150,000 dos vaksin sehari akan dapat dicapai menjelang akhir Jun ini,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya