89 lembu LSD dilupus - Utusan Malaysia

89 lembu LSD dilupus

CHE Abdullah Mat Nawi (kanan) bersama hasil tangkapan ikan yang didaratkan nelayan di Pasar Pulau Gajah, Kota Bharu, Kelantan hari ini. - UTUSAN/YATIMIN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Sebanyak 89 lembu dikenal pasti mempunyai gejala penyakit kulit kental (LSD) terpaksa dilupuskan setakat ini sebagai usaha membendung penularan penyakit itu di Malaysia.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, setakat ini, pemeriksaan telah dilakukan ke atas 81,252 lembu melibatkan 9,108 premis dan ladang ternakan di seluruh negara.

Menurutnya, walaupun LSD tidak menyebabkan kematian yang tinggi, ia tetap memberi kesan buruk kepada industri ternakan lembu negara jika penularannya tidak dibendung.

“Selain itu, penyakit ini boleh mendatangkan kerugian kepada penternak seperti penurunan kadar pengeluaran susu, berat badan, keguguran dan kemandulan kepada lembu jantan.

“Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) telah mengaktifkan program survelan bagi mengesan, mengawal dan mencegah penularan penyakit LSD pada ternakan lembu di seluruh negara,” katanya kepada pemberita selepas tinjauan stok bekalan ikan di Pasar Nelayan Pulau Gajah, di sini.

Che Abdullah turut memberitahu, JPV telah mengetatkan lagi syarat import lembu hidup dan kawalan di pintu masuk negara turut diperketatkan pihak Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis).

“Kita akan mengambil tindakan ke atas mana-mana konsainan lembu import yang menunjukkan gejala penyakit LSD di stesen kuarantin.

“JPV turut memohon kerjasama pemain industri termasuk pengimport, peraih dan penternak lembu supaya segera menghubungi pihak berkenaan sekiranya mengesyaki ternakan lembu di dalam jagaan atau kandang menunjukkan gejala penyakit LSD,” ujarnya.

Che Abdullah berkata, lembu yang terkena jangkitan itu perlu diasingkan dan dilupuskan menerusi penyembelihan di rumah sembelih jabatan atau rumah sembelih swasta yang dilesenkan bagi mengekang penularan penyakit itu. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN