8,734 penyewa PPR, RSK dikecualikan bayaran sehingga Disember - Utusan Malaysia

8,734 penyewa PPR, RSK dikecualikan bayaran sehingga Disember

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri bersetuju mengecualikan bayaran sewa rumah di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR) dan Rumah Sewa Kerajaan (RSK) di negeri ini kepada 8,734 penyewa sehingga 31 Disember ini.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, pengecualian tersebut merupakan inisiatif tambahan kerajaan negeri di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Ihsan Johor 3.0 disamping bantuan-bantuan kewangan yang diperuntukan.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga memberi penangguhan bayaran lesen penjaja atau perniagaan perusahaan kecil dan sederhana (mikro), sewa premis dan gerai, sewa tapak pasar malam dan pasar pagi bagi tempoh yang sama.

Malah, inisiatif lain antaranya pengurangan sewa bulanan sebanyak 50 peratus kepada penyewa premis dan inkubator Perbadanan Islam Johor (PIJ) bermula pada bulan ini sehingga Disember dan pelanjutan pengenaan denda lewat bayaran cukai tanah sehingga 30 September ini.

“Empat inisiatif yang dilaksanakan itu bakal mengurangkan hasil kerajaan negeri berjumlah RM34.41 juta. Disamping itu, kita tidak terlepas memberi bantuan kepada sektor perusahaan kecil dan sederhana yang perlu diberi perhatian antaranya dengan memberi RM500 kepada 19,090 pengusaha IKS mikro, penyewa premis milik PBT, peniaga pasar malam, pasar pagi, pasar tani dan penjaja. 

“Ia melibatkan peruntukan berjumlah RM9.5 juta, manakala bagi sektor pelancongan pula sebanyak RM1.74 juta disediakan merangkumi pemberian RM2,000 kepada pengusaha hotel bajet berdaftar dan masing-masing RM1,000 kepada pemilik inap desa; agensi pelancongan dan pemandu pelancong,” katanya ketika mengumumkan PRE Ihsan Johor 3.0 di sini.

Katanya, bagi mengukuhkan Tabung Bencana Negeri, sebanyak RM239,000 disumbangkan melalui pemotongan gaji Menteri Besar dan Exco, sumbangan RM170,000 oleh penjawat awam negeri dan sumbangan PIJ berjumlah RM252,000 akan dilakukan.

“Bagi memastikan pelaksanaan inisiatif di bawah Ihsan Johor 3.0 ini menepati sasaran ditetapkan, sebuah jawatankuasa khas diwujudkan bagi menyelaras, memantau serta melaporkan status pelaksanaan bantuan yang disalurkan untuk dilapor kepada rakyat,” katanya.

Selain itu, Hasni turut memaklumkan penubuhan Jawatankuasa Penasihat Covid-19 Johor yang akan diketuai mantan Dekan Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Prof. Datuk Dr. Adeeba Kamarulzaman.

“Jawatankuasa ini akan memperkukuhkan lagi pengurusan dan tindakan kerajaan negeri terhadap pengurusan pandemik menggunakan sains, data dan teknologi. Kerajaan negeri mengakui bahawa sains, data dan teknologi merupakan ramuan utama dalam memastikan keberkesanan usaha melawan Covid-19,” katanya.

Sehingga kini, sebanyak RM550.95 juta disalurkan kerajaan negeri bagi memanfaatkan lebih 1.5 juta penerima merangkumi RM167.33 juta pada PRE Ihsan Johor 1.0 dan RM109.48 dalam PRE Ihsan Johor 2.0.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya