BELURAN: Seramai 7,944 orang penduduk di daerah ini menerima vaksin Covid-19 di ketiga-tiga Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
Tiga PPV yang dibuka di daerah ini adalah PPV Dewan Serbaguna Pekan Beluran, PPV Dewan Kampung Kobambangan Paitan dan PPV Dewan Institut Perhutanan Sabah, Telupid.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, kerajaan telah mengambil pelbagai langkah untuk terus memudahkan orang ramai mendapatkan vaksinasi khususnya penduduk di luar bandar, kampung-kampung dan pedalaman yang berdepan kesukaran untuk mendaftar.
Untuk itu, beliau menggesa orang ramai untuk terus mendaftarkani bagi mendapatkan suntikan vaksin Covid-19. Pengambilan vaksin ini penting sebagai langkah melindungi keselamatan diri, keluarga dan masyarakat secara keseluruhannya.
Sokongan serta kerjasama penuh rakyat terhadap PICK amat penting dalam usaha melandaikan lengkuk jangkitan Covid-19 agar kehidupan dapat kembali seperti sedia kala.
Menurut Ronald, kerajaan akan terus komited dan berusaha bagi memastikan program vaksinasi berjalan dengan lancar dan teratur bagi mencapai imuniti kelompok serta menjayakan Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan Perdana Menteri.
“Peningkatan kadar vaksinasi antara indikator penting dalam menjayakan Pelan Pemulihan Negara sekaligus akan membolehkan pembukaan lebih banyak sektor ekonomi dan sosial.
“Ini akan membantu kita beralih keluar secara berfasa dari kemelut pandemik Covid-19 kepada norma kehidupan pra-pandemik,” katanya selepas melawat PPV Dewan Serbaguna Pekan Beluran hari ini.
Ronald turut menyampaikan 1,080 bantuan bakul makanan untuk diagihkan kepada anggota pasukan keselamatan dan petugas kesihatan yang bertungkus lumus membantu mengekang penularan wabak Covid-19.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Beluran sempat meninjau projek ternakan ikan dilaksanakan oleh Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Beluran dan melepaskan 8,000 ekor benih ikan baulu.
Pelaksanaan projek bernilai RM150,000 ini adalah antara inisiatif dibawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) bagi meringankan bebanan petani, nelayan dan penternak yang terkesan akibat pandemik Covid-19.- UTUSAN ONLINE