624 Tok Batin setuju divaksin - Utusan Malaysia

624 Tok Batin setuju divaksin

ABDUL Rahman Mohamad (dua dari kiri) dan Mohd. Salim (berdiri, dua dari kanan) melihat seorang penduduk masyarakat orang Asli menerima suntikan vaksin pada Program Vaksinasi Bergerak Orang Asli di Kampung Orang Asli Panchor, Jempol hari ini. -UTUSAN/MUHAMMAD IZZAT TERMIZIE.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JEMPOL: Seramai 624 Tok Batin daripada 853 perkampungan Orang Asli di seluruh negara telah bersetuju untuk menerima suntikan vaksin Covid-19.

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, persetujuan Tok Batin berkenaan akan meningkatkan lagi keyakinan serta persetujuan dalam kalangan masyarakat Orang Asli untuk divaksin.

Menurutnya, selain Tok Batin, masyarakat Orang Asli juga mempercayai golongan guru dalam kalangan masyarakat mereka dan kumpulan kesenian seperti Bahbola bagi meningkatkan keyakinan mereka.

“Jadi dalam program ‘outreach’ ini, kita dekati terlebih dahulu golongan idola masyarakat Orang Asli ini untuk bersetuju menerima vaksin.

“Terima (vaksin) Tok Batin, terimalah anak buah (masyarakat orang asli). Sehingga kini, hampir 50 peratus Tok Batin sudah menerima vaksin,” katanya kepada pemberita sempena Program Vaksinasi Bergerak Orang Asli di Kampung Panchor, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Parlimen Jempol yang juga Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda), Datuk Mohd. Salim Mohd. Sharif dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk L. Manickam.

Pada program berkenaan, seramai 260 penduduk dari dua buah perkampungan Orang Asli iaitu Panchor dan Ban Peti menerima suntikan vaksin yang dilakukan oleh Unit Mobile Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) termasuk tujuh penduduk yang menerima vaksin di rumah masing-masing.

Sementara itu, Abdul Rahman berkata, sejak program ‘outreach’ ke perkampungan orang Asli dilaksanakan bermula dua minggu lalu dengan kerjasama pelbagai pihak antaranya Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan RISDA, bilangan Orang Asli yang bersetuju untuk menerima vaksin telah menunjukkan peningkatan ketara.

“Secara keseluruhannya, dianggarkan 125,000 Orang Asli daripada 255,000 di seluruh negara layak mendapat vaksin,”,” katanya.

Sehingga 6 petang semalam, seramai 28,143 Orang Asli telah bersetuju untuk menerima vaksin dan daripada jumlah berkenaan, seramai 4,496 orang sudah menerima dos pertama suntikan vaksin.

Seramai 1,511 Orang Asli pula sudah selesai menerima dua dos suntikan vaksin di negara ini. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya