KUANTAN: Kebakaran sebuah ladang ternakan di Batu 8, Jalan Kuantan-Segamat, awal pagi tadi mengakibatkan kira-kira 7,000 ekor ayam rentung.
Bagaimanapun dianggarkan 3,000 ekor ayam lagi berjaya diselamatkan dalam kebakaran dilaporkan berlaku kira-kira pukul 6.34 pagi itu.
Pegawai Operasi, Pusat Gerakan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Norhisham Che Mohd. Nor berkata, hampir 90 peratus struktur keseluruhan ladang ternakan itu musnah.
“Kebakaran itu melibatkan bangunan reban seluas 3.7 x 37.2 meter persegi dan telah berjaya dipadamkan.
“Seramai 16 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Chini dan Taman Tas bersama dua jentera ke lokasi untuk operasi pemadaman.
“Operasi itu menggunakan dua aliran salur bantu mula air dari tangki pam jentera,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Norhisham berkata, punca sebenar kebakaran dan nilai kerugian masih dalam siasatan.- UTUSAN ONLINE