PUTRAJAYA: Sebanyak enam lagi kes varian baharu virus SARS-CoV-2 melibatkan varian yang membimbangkan (VOC) iaitu lima kes varian Beta (B.1.351) dan satu kes varian Delta (B.1.617.2).
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, penemuan terbabit hasil survelan genomik untuk virus SARS-CoV-2 yag dijalankan secara berterusan selama dua hari bermula 20 Jun.
Katanya, lima kes varian Beta (B.1.351) di Pulau Pinang iaitu sebanyak dua kes manakala Sabah, Kedah dan Perlis masing-masing satu kes serta satu lagi varian Delta (B.1.617.2) pula direkodkan di Negeri Sembilan.
“Ia menjadikan kumulatif kes dijangkiti virus SARS-CoV-2 yang dikategorikan sebagai VOC dan varian berkepentingan (VOI) adalah sebanyak 189 kes.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 173 kes adalah VOC manakala, sebanyak 16 kes pula adalah VOI,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ahad lalu, Noor Hisham memaklumkan pihaknya mengesan lagi 22 kes varian baharu virus SARS-CoV-2 melibatkan VOC iaitu 14 kes varian Beta (B.1.351) dan lapan kes varian Delta (B.1.617.2) bermula 11 Jun lalu.
“Sebanyak 14 kes baharu varian Beta (B.1.351) melibatkan masing-masing tiga kes di Selangor, Sabah dan Terengganu, dua kes di Kedah dan masing-masing satu kes di Perak, Johor, dan Kelantan.
“Bagi lapan kes baharu varian Delta (B.1.617.2) melibatkan masing-masing dua kes di Johor, Labuan, dan Negeri Sembilan, serta masing-masing satu kes di Perlis dan Pulau Pinang,” katanya.- UTUSAN ONLINE