JEMPOL: Lebih separuh daripada 525,000 pekebun kecil di seluruh negara telah mendaftar untuk mendapatkan vaksin Covid-19 menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.
Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda), Datuk Mohd. Salim Mohd. Sharif berkata, pihaknya juga menyasarkan sehingga hujung tahun ini, sebanyak 75 peratus pekebun kecil akan menerima vaksin berkenaan.
“Risda telah bersetuju supaya semua kakitangannya khusus Pegawai Risda Daerah untuk memastikan semua pekebun kecil mendaftar untuk menerima vaksin menerusi aplikasi MySejahtera. Bagi yang tiada kemudahan telefon pintar, kami akan mendaftarkan untuk mereka.
“Apabila semua mereka telah memperoleh janji temu untuk penerimaan vaksin, Risda akan menggunakan seluruh kemudahannya bagi membawa pekebun kecil yang menghadapi kekangan pengangkutan terutamanya warga emas untuk ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang telah ditetapkan,” katanya.
Mohd. Salim yang juga Ahli Parlimen Jempol berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Program Suntikan Vaksin Pekebun Kecil di PPV Dewan Pejabat Daerah Jempol, Bandar Seri Jempol hari ini.
Sementara itu, beliau berkata, Risda dengan kerjasama Kementerian Kesihatan bersedia untuk menjadikan aset-aset bangunannya untuk digunakan sebagai pusat kuarantin pesakit-pesakit
“Kami ada sebuah pusat latihan di Port Dickson serta Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM) di Melaka boleh kita gunakan jika ia diperlukan oleh Kementerian Kesihatan, Risda tiada masalah.
“Terserah sama ada untuk dijadikan sebagai pusat kuarantin ataupun PPV, Risda sedia untuk memberikannya kepada Kementerian Kesihatan untuk menggunakannya,” katanya lagi.
Dalam pada itu, menurut Mohd. Salim, pihaknya juga akan bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) negeri untuk meningkatkan pendaftaran penerimaan vaksin dalam kalangan penduduk Orang Asli di daerah ini.
“Hari ini juga ada Orang Asli yang telah menerima vaksin, ini baik bagi meningkatkan keyakinan kepada golongan tersebut yang saya lihat masih ragu-ragu. Saya yakin dengan usaha berterusan akan lebih ramai daripada mereka akan mendaftar,” katanya.- UTUSAN ONLINE