PUTRAJAYA : Jumlah insiden keselamatan siber yang dilaporkan ke Pusat Bantuan Cyber999 kendalian CyberSecurity Malaysia merekodkan sebanyak 4,615 dengan tiga insiden tertinggi iaitu Penipuan (3,229), Pencerobohan (765) dan Kod Berbahaya (256) bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, peningkatan penggunaan internet secara ketara di seluruh negara berikutan pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mendedahkan kepada pelbagai ancaman dan serangan siber.
Bagaimanapun, kata beliau, kementerian bersama CyberSecurity Malaysia sentiasa memantau persekitaran ruang siber negara dengan menyediakan perkhidmatan, bantuan serta sokongan teknikal untuk memantapkan lagi sistem rangkaian dan pertahanan siber kepada semua pihak.
Katanya, ini termasuk sama ada dalam sektor awam dan swasta serta pengguna internet individu.
“Peringatan dan Nasihat (Alert and Advisory) juga dikeluarkan dari semasa ke semasa sebagai peringatan bagi membolehkan pentadbir sistem di organisasi awam dan swasta serta pengguna internet mendapatkan maklumat mengenai amalan terbaik bagi menangani dan membanteras sesuatu ancaman dan serangan siber.
“Maklumat tersebut boleh didapati melalui portal MyCERT atau Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komputer Malaysia, CyberSecurity Malaysia di pautan https://www.mycert.org.my/, ” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada masa sama, Saifuddin menggesa pengguna internet agar sentiasa peka, cakna serta melengkapkan diri dengan tatacara penggunaan teknologi dan internet dengan menggunakannya secara berhemah, positif, beretika dan penuh tanggungjawab.
Katanya, sebarang pelaporan insiden keselamatan siber, orang ramai boleh menghubungi Pusat Bantuan Cyber999 kendalian CyberSecurity Malaysia melalui melalui saluran e-mel : [email protected] ; telefon : 1-300-88-2999 (Isnin – Jumaat, 9:00 pagi – 3:00 petang) dan telefon bimbit : +60 19 2665850 (Panggilan laporan insiden kritikal sahaja).
Selain itu ia boleh dibuat menerusi Aplikasi Cyber999 yang boleh dimuat turun di Appstore dan Google Play. – UTUSAN ONLINE