SEPANG: Sebanyak 42 buah pasar segar terkawal (PST) beroperasi setakat ini di seluruh negara dengan nilai jualan yang dicatatkan sebanyak RM18.9 juta sehingga 4 Jun lalu.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ronald Kiandee berkata, pengoperasian PST itu melibatkan seramai 348 petani dan 6,879 usahawan yang berfungsi memberi akses pilihan kepada pengguna untuk mendapatkan barangan keperluan dengan penawaran penjimatan hingga 20 peratus.
“Setiap PST mempunyai lapan komoditi teras iaitu sayur, buah, ikan, ayam, daging, produk industri kecil dan sederhana (IKS), barangan runcit dan makanan (penghantaran) yang akan terus beroperasi sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh fasa pertama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, beliau telah mengadakan lawatan kerja di dua lokasi PST Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) iaitu MyFarm Outlet Putrajaya dan Pusat Operasi FAMA Dengkil, Sepang Selangor.
Tujuan lawatan kerja itu bagi melihat kelangsungan rantaian bekalan makanan melalui PST yang menawarkan barangan keperluan kepada pengguna khususnya penduduk setempat ketika tempoh penutupan penuh sektor ekonomi dan sosial ketika ini.
Menurut Ronald, kementeriannya sentiasa mengambil pelbagai pendekatan dalam usaha memastikan kelancaran dan kelangsungan rantaian bekalan makanan termasuk mengurus isu lambakan, antaranya melalui pelaksanaan PST di lokasi-lokasi terpilih yang beroperasi mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Dalam pada itu, katanya, pengguna turut disaran membeli barangan secara dalam talian dan mengurangkan pertemuan di PST.
“Pelbagai kemudahan pembelian dalam talian telah tersedia seperti aplikasi Agrobazaar Online (ABO) serta aplikasi e-dagang lain sektor swasta yang juga menjual barangan segar dan keperluan seperti Shopee, Lazada, MyGrocer, OurFarm AirAsia, Farm2Table dan sebagainya,” katanya.
Pada masa sama, Ronald menjelaskan bahawa kementerian sedia mengambil semua langkah yang perlu bagi memastikan kelancaran rantaian bekalan makanan, antaranya pengeluaran, pengedaran dan peruncitan produk hasil pertanian serta industri makanan.
Sehubungan itu, jelas beliau, kementerian dengan kerjasama semua pihak bertanggungjawab akan terus memastikan keadaan sentiasa terkawal dan bekalan makanan berada dalam keadaan yang mencukupi serta stabil kerana sektor pertanian dan industri makanan diletakkan sebagai satu perkhidmatan perlu.
Katanya, sehingga 6 Jun lalu, kementerian melalui jabatan dan agensi di bawahnya secara keseluruhan telah mengeluarkan sebanyak 76,869 surat kebenaran keterlibatan dalam sektor pertanian tidak formal termasuk aktiviti rantaian pembekalan dan pemasaran berkaitan keperluan makanan kepada petani, penternak, nelayan, pengusaha kecil B40 serta pengusaha mikro asas tani.
“Manakala, sektor pertanian formal yang melibatkan syarikat pengilangan, pengeluar produk atau industri makanan perlu terus mendapatkan kebenaran beroperasi
melalui Covid-19 Intelligent Management System (CIMS 3.0) di bawah seliaan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI),” katanya. UTUSAN ONLINE