GEORGETOWN: Polis merampas sebanyak 411 mesin yang digunakan untuk melombong mata wang digital bitcoin dengan anggaran nilai RM180,000 dalam serbuan di tujuh buah premis berasingan di sekitar daerah Timur Laut dan Barat Daya, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, dalam operasi pertama di Jelutong pukul 12.30 tengah hari, polis menyerbu tiga buah rumah kedai dan merampas 200 unit mesin bitcoin bernilai RM80,000.
Katanya, susulan tangkapan empat lelaki berusia 20 hingga 35 tahun dalam serbuan itu, polis dengan kerjasama pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) membuat empat lagi serbuan di rumah kedai sekitar Georgetown dan Bayan Lepas antara pukul 11 malam hingga 3 pagi.
Katanya, dalam serbuan itu polis turut merampas sebanyak 211 buah mesin yang digunakan untuk melombong bitcoin secara haram.
“Siasatan awal mendapati kesemua premis itu dijadikan tempat melombong bitcoin menggunakan bekalan elektrik secara haram dengan kerugian yang dialami oleh TNB adalah RM420,000 untuk tempoh dua bulan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurut Soffian, soal siasat terhadap empat suspek yang ditahan dalam serbuan itu mengaku diambil bekerja sebagai pembersih premis sejak dua bulan lalu.
”Mereka juga mendakwa menerima gaji sebanyak RM3,000 sebulan daripada seorang majikan,” katanya.
Dalam pada itu katanya, pemeriksaan TNB mendapati kabel elektrik di semua premis berkenaan telah diubah suai dan bertujuan untuk mencuri bekalan elektrik.
“Sehubungan itu, bekalan elektrik di tempat kejadian tersebut telah dipotong oleh pihak TNB,” katanya.
Tambahnya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 379 dan 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat penyambungan elektrik dan Seksyen 37 Akta Bekalan Letrik 1990 kerana menggunakan bekalan elektrik secara haram. – UTUSAN ONLINE