PETALING JAYA : Empat lagi pertukaran pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) diumumkan hari ini berkuat kuasa 1 Julai ini.
Superintenden Komunikasi Korporat Urusetia Ketua Polis Negara (KPN) Superintenden Skandaguru Anandan berkata, mendahului senarai terbabit ialah Timbalan Ketua Staf Operasi Darat Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Asisten Komisioner V. Shivananthan.
Kata beliau, Shivanathan akan menjawat Penolong Pengarah Pengurusan (Keselamatan, Sukan dan Rekreasi) Bahagian Pentadbiran, Jabatan Pengurusan Bukit Aman.
“Jawatan beliau akan digantikan oleh Superintenden Pengajian Pencegahan Keganasan, Pusat Pengajian Sains Pengurusan Krisis dan Bencana Maktab PDRM, Superintenden S Balasundaram dengan memangku pangkat Asisten Komisioner.
“Turut terlibat pertukaran itu ialah Komander Markas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Lima, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Kuching, Sarawak, Asisten Komisioner Shamsol Kassim yang akan menjawat Komander Markas PPM KDNKA Batu Uban, Pulau Pinang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah Skandaguru, bagi jawatan Shamsol pula akan disandang oleh Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan dan Operasi) Sarawak, Asisten Komisioner Zulfikar Mohd Ghazali.-UTUSAN ONLINE