4 individu termasuk tiga lelaki warga Indonesia ditahan rentas daerah - Utusan Malaysia

4 individu termasuk tiga lelaki warga Indonesia ditahan rentas daerah

HASRON NAZRI HASHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAMPAR: Empat lelaki termasuk tiga warga Indonesia ditahan kerana gagal mengemukakan dokumen rentas daerah dalam satu sekatan jalan raya (SJR) di Kilometer 43, Jalan Ipoh-Teluk Intan, Mambang Diawan di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintenden Hasron Nazri Hashim berkata, lelaki tempatan yang ditahan itu berusia 31 tahun manakala tiga lelaki Indonesia masing-masing berusia 22 tahun.

Katanya, kesemua mereka yang menaiki kereta jenis Proton Wira ditahan ketika melalui SJR tersebut untuk ke Ipoh pada pukul 10 malam.

“Kereta berkenaan ditahan kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan membawa penumpang lebih daripada had yang dibenarkan.

“Pemeriksaan ke atas lelaki tempatan itu mendapati dia tidak mempunyai dokumen rentas daerah manakala tiga warga Indonesia itu pula tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, kompaun RM5,000 dikeluarkan terhadap pemandu kereta tersebut mengikut Peraturan 4(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPPB) (Langkah-langkah Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 2021.

Katanya, siasatan ke atas tiga lelaki warga Indonesia itu menyatakan telah membayar RM400 kepada pemandu sebagai tambang perjalanan ke Ipoh dan baki RM1,000 lagi akan dilunaskan sebaik sahaja tiba di bandar tersebut.

“Pemandu terbabit tidak mengenali ketiga-tiga lelaki warga asing itu dan menjumpai mereka di tepi jalan dekat Changkat Jong, Teluk Intan.

“Seorang daripada lelaki warga Indonesia itu kemudian menawarkan wang sebanyak RM1,400 kepada pemandu sebagai upah untuk ke Ipoh di mana wang berjumlah RM400 dibayar sebagai pendahuluan,” katanya.

Tambahnya, tujuan lelaki warga asing itu ke Ipoh adalah untuk bertemu rakan selain mencari kerja baharu. 

“Kesemua suspek yang bekerja sebagai pengait buah sawit itu direman 14 hari sehingga 1 Julai depan untuk siasatan mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63, Peraturan 16 dan 4(1) PPPPPB 202,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya