JELEBU: Seramai 350 orang penduduk di Kampung Lakai, Simpang Durian dekat sini telah menjalani kuarantin kendiri lebih awal sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kampung tersebut, bermula esok.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pertang, Noor Azmi Yusof berkata, pihaknya juga telah menghantar bantuan awal seperti barangan dapur kepada penduduk yang terkesan sejak seminggu lalu.
“Keperluan seperti barang asas dapur telah dihantar lebih awal sebaik sahaja mereka mula dikuarantin. Selain itu, bahan mentah seperti ayam dan ikan turut telah dihantar kepada penduduk.
“Saya dimaklumkan seramai 96 orang penduduk yang positif Covid-19 telah dihantar ke pusat kuarantin di Kuala Pilah, Port Dickson dan ada juga yang dihantar ke Hospital Tampin,” katanya kepada pemberita di kampung tersebut hari ini.
Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan, kerajaan bersetuju supaya PKPD dilaksanakan di kampung berkenaan berkuat kuasa esok sehingga 27 Jun depan.
Ia setelah penilaian risiko yang dibuat bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan atas nasihat Kementerian Kesihatan.
Ujar beliau, sehingga kini, Kementerian Kesihatan telah melakukan 369 ujian saringan ke atas penduduk di kampung tersebut dan 92 orang daripadanya dilaporkan positif Covid-19.
Dalam pada itu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dalam kenyataan memberitahu, kerajaan negeri akur dengan arahan supaya PKPD dilaksanakan di Kampung Lakai.
“Kerajaan negeri akur dengan arahan tersebut dan akan memberikan kerjasama melalui Jawatankuasa Keselamatan dan Pengurusan Bencana Daerah (JKPBD) serta agensi-agensi di bawah kawalan kerajaan negeri bagi melancarkan urusan di sana,” katanya.
Sementara itu, tinjauan di kampung tersebut pagi ini juga mendapati, beberapa laluan memasuki kampung tersebut termasuk ‘lorong tikus’ juga telah diletakkan batu penghadang.
Difahamkan, sebanyak 135 buah rumah di kawasan kampung itu terlibat dalam pelaksanaan PKPD dan bayi berusia tujuh bulan merupakan penduduk paling muda yang menjalani ujian calitan saringan Covid-19. -UTUSAN ONLINE